KUALA LUMPUR 7 Mei – Tempoh siap kerja pembaikan paip-paip utama yang pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) di Klang terpaksa dilanjutkan ekoran pergerakan tanah yang menyebabkan kelewatan kerja.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan berkata, pihaknya memerlukan masa bagi menyiapkan kerja baik pulih itu sebelum sistem bekalan dapat diaktifkan semula.
“Penyaluran semula bekalan akan dilakukan sejurus kerja-kerja pembaikan siap. Pemulihan di kawasan yang terjejas dilakukan secara berperingkat dan tempoh pemulihan bagi setiap kawasan adalah berbeza.
“Bagi kawasan yang menggunakan bekalan secara terus akan menerima bekalan lebih awal berbanding kawasan yang berada di lokasi tinggi dan penghujung sistem agihan.
“Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi pelanggan dan segala usaha sedang diambil bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan,” katanya di sini.
Bagi mendapatkan maklumat dan status terkini, orang ramai boleh memuat turun aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau App Store atau melayari laman web di www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor” dan Twitter @air_selangor.
Pelanggan juga boleh menghubungi Air Selangor di talian 15300 atau Whatsapp ke 019-2816793 dan 019-280 0919 untuk bantuan. – UTUSAN ONLINE











