KUALA SELANGOR – Seorang pelajar maut selepas motosikal dinaiki melanggar sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan TAJ 11 Taman Alam Jaya, Puncak Alam, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 2 petang itu, M. Vimalan, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md. Asri A. Wahab berkata, sewaktu kemalangan mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha SS110 menuju ke rumahnya selepas tamat sesi persekolahan.
Katanya, setiba lokasi kejadian yang merupakan simpang empat didapati mangsa tidak berhenti sebaliknya telah melanggar bahagian sebelah kiri lori yang dipandu lelaki berusia 45 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – K! ONLINE











