KUANTAN – Teruja dijanjikan keuntungan tetap RM4,500 setiap bulan, seorang peneroka Felda di Gambang dekat sini kerugian RM30,000 dalam penipuan pelaburan kelapa sawit yang disertainya tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, lelaki berusia 64 tahun itu diajak menyertai pelaburan tersebut oleh kenalan rapatnya sendiri bernama Abu Bakar pada April tahun lalu.
“Pelaburan melibatkan urusan membeli kelapa sawit pada harga jauh lebih murah dan menjual kepada kilang dengan harga lebih tinggi,” kata Mohd. Wazir.
Tambah beliau lagi, mangsa bersetuju untuk melabur dan menyerahkan wang tunai secara berperingkat serta dijanjikan pulangan keuntungan bagi modal semasa yang telah dilaburkan.
“Sehingga tempoh April 2018 hingga Februari baru-baru ini, mangsa hanya menerima pulangan RM15,000 daripada keseluruhan pelaburan sebanyak RM45,000.
“Sejak Mac lalu juga, mangsa tidak lagi menerima sebarang bayaran keuntungan dan sudah tidak dapat menghubungi Abu Bakar ,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.
Mohd. Wazir menambah, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gambang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











