LONDON 7 Mei – Pep Guardiola akan bertemu Vincent Kompany secara santai pada penghujung musim ini bagi menentukan sama ada kapten Manchester City itu akan kekal bersama kelab itu atau sebaliknya.
Jaringan jarak jauh Kompany menyaksikan City menang 1-0 ke atas Leicester sekali gus meletakkan pasukan itu di landasan terbaik bagi mengekalkan kejuaraan.
Kemenangan ke-13 berturut-turut di dalam Liga Perdana Inggeris bakal mengekalkan kejuaraan City sekiranya mereka meraih satu lagi kemenangan ke atas Brighton.
Kompany sudah tiga kali menjulang trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris sejak menyertai pasukan itu dari Hamburg pada 2008 tetapi kontraknya akan tamat pada hujung musim ini.
Guardiola berkata, dia akan bertemu dengan kapten City itu dan berbincang mengenai masa depannya selepas pertemuan menentang Watford dalam aksi final Piala FA, bulan ini.
“Kami sudah bercakap dengan Kompany dan ejennya. Kami akan bertemu sekali lagi pada penghujung musim ini.
“Dia adalah individu yang hebat dan banyak membantu saya.
“Pada penghujung musim selepas Piala FA, kita akan lihat,” katanya.-AGENSI











