LONDON 7 Mei – Bekas pemain Liverpool dan Tottenham, Jamie Redknapp mendakwa Ole Gunnar Solskjaer sedang berlumba dengan masa dan berisiko dipecat sekiranya Manchetser United gagal beraksi cemerlang musim hadapan.
Solskjaer pada awalnya dilantik sebagai pengurus sementara selepas United memecat Jose Mourinho kerana aksi buruk terutama selepas tewas kepada Liverpool, Disember lalu.
Solskjaer memulakan tugasan dengan baik termasuk memastikan Red Devils bangkit menundukkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara dan kemudiannya dilantik sebagai pengurus tetap.
Situasi kemudiannya berubah apabila United hanya menang dua daripada 11 perlawanan dan mereka tersingkir daripada saingan Piala FA dan Liga Juara-Juara.
United yang menghuni kedudukan keenam Liga Perdana Inggeris gagal melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.
“Saya tidak mahu Solskjaer gagal tetapi saya merasakan tugasan yang diberikan kepadanya sangat besar.
“Saya juga tidak pasti sama ada United masih mahu memancing Mauricio Pochettino tetapi naib pengerusi Ed Woodward mesti merasakan dirinya sudah melakukan kesilapan besar.
“Solskjaer diberikan kepercayaan terhadap antara jenama terbesar dunia sukan. Sudah enam tahun United tidak menang trofi Liga Perdana Inggeris.
“Tidak kira sama ada tugasan itu kecil atau besar, semestinya dia berada dalam keadaan tertekan,” kata Redknapp.-AGENSI











