JASIN – Hasrat seorang pesara polis untuk menunaikan solat tarawih tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Kilometer 20, Jalan Tehel-Bemban malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, mangsa, Abd. Rahman Tambi Chik, 70, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 dalam perjalanan dari rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel ke masjid Kampung Tehel untuk menunaikan solat tarawih.
“Setiba di tempat kejadian, motosikal mangsa telah dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal lain jenis Yamaha 125Z yang ditunggang seorang pemuda berusia 20 tahun dari arah bazar Bukit Katil untuk pulang ke rumahnya di Kampung Tehel.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang telah terjatuh dan warga emas berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemuda tersebut yang cedera di kepala dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











