KAJANG – Empat suspek lelaki kini menjadi buruan pihak polis selepas dipercayai terlibat dengan rompakan sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.43 petang selepas kedai emas berkenaan dimasuki empat suspek lelaki bersenjatakan dua objek yang menyerupai pistol.
“Kesemua suspek kemudiannya bertindak melarikan lapan dulang barangan kemas.
“Tiada sebarang tembakan dilepaskan dan tiada laporan kecederaan yang diterima berhubung kejadian rompakan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Ahmad Dzaffir, anggaran kerugian serta suspek yang terlibat masih lagi di dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Vekram Sinnaiah di talian 019-4737 108.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” tegas beliau. – K! ONLINE











