MANCHESTER 6 Mei – Jamie Redknapp percaya Ole Gunnar Solskjaer kini terpaksa menyelamatkan kariernya di Manchester United.
Harapan Red Devils untuk layak ke Liga Juara-Juara berkubur, selepas mereka diikat Huddersfield 1-1 di laman lawan.
Ini bermakna United hanya mencatat dua kemenangan dalam 10 perlawanan sejak Solskjaer dilantik menggalas tugas sebagai pengurus sepenuh masa.
Terpaksa beraksi dalam Liga Europa, selain perlu berdepan jendela perpindahan yang kacau-bilau, Redknapp percaya Solskjaer kini pasti berasa bimbang tentang jawatannya.
“Saya tidak berniat untuk mendoakan kegagalan Solskjaer, tetapi dia kini mungkin berasakan jawatan yang disandangnya itu terlalu berat buatnya.
“Kami tidak tahu jika United cuba untuk memikat Mauricio Pochettino dari Tottenham, tetapi Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward mesti tertanya-tanya adakah dia telah membuat keputusan yang salah.
“Solskjaer diberi kepercayaan untuk membimbing sebuah pasukan yang memiliki antara jenama sukan terbesar di dunia. Sekarang sudah masuk enam tahun sejak kali terakhir United menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris.
“Tanpa mengambil kita tanggungawab yang besar, dia pasti berasa sangat tertekan selepas United kehilangan beberapa mata dan sekali lagi, berada dalam kedudukan keenam yang pernah dihuni mereka Oktober lalu,” kata Redknapp kepada media Britain, Daily Mail.
United akan berdepan Cardiff City di Old Trafford pada perlawanan terakhir musim dengan kedua-dua pasukan sudah tidak lagi memiliki sebarang sasaran untuk diburu.
Solskjaer mengakui, selepas United diikat dengan keputusan seri, semalam, segelintir pemain United bermain buat kali terakhir untuk kelab itu dan dia memberi bayangan akan menurunkan beberapa pemain muda menentang Bluebirds. – AGENSI











