Empat tahun pujuk suami berniaga - Utusan Malaysia

Empat tahun pujuk suami berniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bergelar isteri kepada ahli perniagaan yang berjaya, ia bukan tiket mudah untuk pelakon Hanez Suraya membuka bisnesnya sendiri.

Hanez mengambil masa selama empat tahun untuk menyakinkan suaminya, Romie Razin Adilha Abdul Jais, 39, agar dia juga berupaya membina perniagaan di atas jenama sendiri.

Kata pelakon drama Love You Mr. Arrogant ini, Romie seorang yang bersikap tegas dan serius dalam soal perniagaan apatah lagi sekiranya dia benar-benar berminat mengeluarkan produk

Memuatkan artikel berkaitan…
 

sendiri.

Namun atas pujukan dan keyakinan yang diberi, akhirnya si suami tunduk kepada permintaan Hanez dan lahirlah produk pewarna bibir yang diberi nama Cake Pop.

“Dalam bab bisnes, suami seorang yang tegas dan serius. Sebelum menjalankan bisnes, suami sudah meletakkan syarat agar membuat persediaan serta perancangan yang rapi. Kemudian, bentangkan apa sahaja yang dirancang untuk lebih meyakinkannya.

“Soalan pertama suami sudah tentu berapa untung dan sejauh mana produk Cake Pop ini boleh bertahan. Setelah meyakinkan dia dengan memperkenalkan tim yang menjalankan bisnes ini, baharulah dia membenarkan saya berniaga,” jelas Hanez.

Hanez melahirkan rasa bertuah apabila majlis pelancaran Cake Pop turut dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Kata Hanez, Cake Pop mendapat inspirasi hasil obsesinya terhadap drama bersiri Korea.

“Sebelum ini, saya memang meminati budaya dan industri filem dan drama Korea tetapi tidak terlalu obses seperti apa yang saya alami sewaktu hamil.

“Asalnya saya lihat bagaimana pelakon Korea mempunyai bibir yang cantik dan segar tanpa mengenakan lisptik.

“Jadi saya keluarkan produk pewarna bibir yang boleh menyegarkan bibir sesuai untuk perempuan dan lelaki,” kata Hanez yang kini hamil anak kedua dengan usia kandungan tujuh bulan. Dia dijangka melahirkan bayi perempuan pada Julai ini.

Suami mahu Hanez sentiasa di sisi

Kata Hanez, semenjak berkahwin pada tahun 2015, suaminya lebih gemar dia memberi tumpuan kepada rumah tangga dan anak-anak mereka.

Malah dalam apa jua keadaan, Romie mahu Hanez sentiasa berada di sisinya. Apatah lagi dalam keadaan dirinya yang berbadan dua kini, Romie gemar menghabiskan masa bersamanya sehingga digelar `belangkas’ dalam kalangan rakan-rakan mereka.

“Sejujurnya, memang suami lebih selesa saya fokus rumah tangga dan menjadi ibu kepada tiga orang anak kami. Walaupun suami mengizinkan untuk belakon, tetapi jauh di lubuk hati saya berkata, suami dan anaklah ‘syurga’ saya.

“Jadi, saya perlu mengutamakan mereka yang kini menjadi punca saya bahagia. Apa lagi saya mahu?

“Apa-apa pun, sebagai pelakon, sudah tentu saya rindu saat-saat aktif dahulu. Demi memenuhi impian itu, suami memberi peluang kepada saya untuk berniaga dan menggunakan kelebihan yang ada untuk menjana ekonomi keluarga.

“Saya banyak belajar selok belok perniagaan daripadanya. Melalui bisnes yang saya uruskan, dia melihat sendiri perkembangan tersebut,” kata Hanez yang turut menjaga dua anak tirinya, Putra Adreeshah, 13, dan Putra Rayqarl Shah, 8, selain anak sendiri, Putri Aleesya. 3.

“Bila hamil anak kedua, suami bertambah mahu ‘melekat’ ke mana sahaja. Biasanya, kalau dia ada urusan bisnesnya di luar, dia akan bawa saya sekali. Begitu juga sebaliknya, kalau saya sibuk dengan bisnes dan tanggungjawab sebagai duta Deeja Cosmetic, dia akan turut turun padang bersama-sama saya.

“Kata suami, jadi pelakon dengan usahawan merupakan dua kerjaya yang berbeza. Mungkin saya tahu apa sahaja pasal lakonan namun dalam selok-belok bisnes semuanya mendapat tunjuk ajar darinya,” jelas Hanez Suraya, 33.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini