KUALA LUMPUR 6 Mei – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berhasrat mendapatkan khidmat Pemain Terbaik Dunia lima kali, Jamie Dwyer dari Australia dalam usaha ‘menajamkan kuku’ Malaysian Tigers pada hujung bulan ini.
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, hasrat itu timbul selepas terdapat kekurangan dalam skuad kebangsaan antaranya di bahagian serangan yang dilihat agak tumpul sewaktu kempen Siri Akhir FIH, minggu lalu.
Tambahnya, beliau juga telah menyatakan hasrat tersebut kepada jurulatih Malaysian Tigers, Roelant Oltmans bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Secara keseluruhan, saya tidak malu dengan persembahan pasukan hoki lelaki baru-baru ini kerana Malaysia merupakan pasukan terbaik dalam kempen tersebut.
“Kita mencipta benyak peluang namun gagal menjaringkan gol. Saya telah meminta jurulatih (Roelant) agar mencari seorang pakar agar masalah ini dapat diselesaikan, jadi kami memang memerlukan bantuan Dwyer.
“Setakat ini, kami menunggu persetujuan antara Dwyer dengan MSN (Majlis Sukan Negara), yang sudahpun memberi keizinan,” kata Subahan dalam sidang akhbar di Bukit Jalil di sini hari ini.
Sabtu lalu, hasrat Malaysian Tigers untuk muncul juara Siri Akhir FIH di laman sendiri tidak kesampaian selepas tewas 2-3 kepada Kanada dalam saingan akhir.
Skuad kebangsaan selepas ini akan mengharungi beberapa perlawanan persahabatan di Eropah sebagai persediaan untuk aksi kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo.- UTUSAN ONLINE











