KUALA LUMPUR 6 Mei – OCBC Bank mengekalkan jangkaannya bahawa kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) seawal Julai 2019 dan bukannya pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Mei 2019 yang dijadualkan berlangsung esok.
Pakar ekonomi OCBC Bank, Alan Lau berkata, BNM mungkin akan menunggu untuk memantau keadaan dalam tempoh yang lebih lama sebelum membuat keputusan untuk mengurangkan OPR, terutama dengan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China kembali tegang selain pengukuhan dolar US.
Katanyam berdasarkan kenyataan BNM pada Mac lepas, ia memberi petunjuk bahawa pengurangan OPR akan berlaku pada Mei depan.
“Oleh itu, selepas berlakunya ‘pengurangan secara mengejut’ pada Julai 2016, tahun seterusnya BNM tidak melakukan sebarang tindakan, BNM memberi petunjuk lebih jelas pada kenyataan dikeluarkan pada Disember, 2017.
“Satu lagi kebimbangan utama yang mungkin mendorong keputusan BNM untuk menurunkan OPR adalah berkaitan situasi pertumbuhan berikutan Indeks Pengeluaran Perindustrian suku pertama 2019 telah menyusut dan ia biasanya mencerminkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lemah,” katanya dalam nota penyelidikan bertajuk ‘Adakah BNM akan menjadi yang pertama di ASEAN yang mengurangkan kadar?’ di sini. – UTUSAN ONLINE











