Dana Raya 2019 lebih bersasar - MB Terengganu - Utusan Malaysia

Dana Raya 2019 lebih bersasar – MB Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 6 Mei – Kerajaan negeri akan meneruskan pemberian Dana Raya 2019 dengan beberapa penambahbaikan bagi membolehkan bantuan tersebut dibuat secara lebih bersasar tahun ini.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, satu kaedah pertimbangan baharu akan dilaksanakan dengan menyasarkan kepada mereka yang benar-benar layak untuk menerima manfaat tersebut.

“Kita akan sasarkan kepada yang betul-betul layak menerima, jadi pendapatan bersih penerima itu mungkin kita kecilkan sedikit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, kita belum buat keputusan lagi dan sedang melihat data-data statistik pendapatan bersih bagaimana kita akan berikan dana raya,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk di pekarangan Masjid Abidin di sini hari ini.

Yang hadir sama, isterinya, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc., Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak serta wakil-wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tahun lalu, seramai 276,541 orang pemohon menerima manfaat Dana Raya yang melibatkan peruntukan berjumlah RM69.13 juta.

Bantuan tahunan kerajaan negeri itu diagihkan mengikut kategori iaitu RM44.3 juta kepada 177,097 orang yang pendapatan rendah; RM9.7 juta untuk 38,744 warga emas; RM 10.7 juta kepada 42,800 ibu atau bapa tunggal dan RM4.5 juta pula disediakan untuk 17,900 orang kurang upaya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, Terengganu telah menerima pembayaran royalti minyak mengikut jadual pada tahun ini membabitkan jumlah kira-kira RM580 juta yang dibayar pada awal April.

Katanya, pemberian itu bagaimanapun membabitkan pemotongan 25 peratus bersamaan kira-kira RM180 juta oleh kerajaan Pusat bagi pembayaran hutang tertunggak.

“Rundingan masih dibuat dan kita minta supaya pemotongan hutang itu tidak sampai 25 peratus tetapi dalam keadaan yang lebih rendah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini