KUALA LUMPUR 6 Mei – Kenanga Investment Bank Bhd. (Kenanga IB) mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia bagi 2019 akan lebih perlahan pada 4.5 peratus daripada 4.7 peratus pada 2018.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan pertumbuhan KDNK mungkin akan terus perlahan sehingga ke suku kedua tahun ini (Q2 2019) pada 4.2 peratus daripada 4.4 peratus yang dianggarkan pada Q1 2019.
“Walaupun kelembapan ekonomi pada Q1 2019 sudah mula beransur-ansur surut, seperti ditunjukkan oleh kenaikan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan bagi April iaitu pada 49.4 daripada 47.2 pada Mac, walaupun kekal dalam kedudukan menguncup, ditambah dengan kenaikan Indeks Baltic Dry pada 1,011 daripada 689 pada Mac, kami mengekalkan pandangan kami bahawa prestasi perdagangan akan terus kekal suram,” katanya dalam nota hari ini.
Menurut Kenanga IB, ini berdasarkan ketidaktentuan hasil rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China dan pertumbuhan ekonomi yang sederhana dalam pasaran utama global termasuk China, Kesatuan Eropah dan AS. – BERNAMA











