Toyota Yaris cita rasa generasi Y - Utusan Malaysia

Toyota Yaris cita rasa generasi Y

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDUSTRI automotif Jepun, Toyota kembali memperke­nalkan kenderaan versi hatchback, Yaris bagi meneroka pasaran segmen B di negara ini.

Melihat bentuk fizikal lua­ran, penulis yakin ia mampu menawan hati generasi muda yang menginginkan gaya hidup moden, mementingkan jenama dan sporty.

Penulis berpeluang memandu uji kenderaan tersebut selama tiga jam perjalanan pergi dan balik dari Ibu Pejabat UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. di Shah Alam ke Janda Baik, Pahang.

Memuatkan artikel berkaitan…

RUPA LUARAN

Sebut sahaja jenama Toyota, sudah tentu spesifikasi dan rupa luarannya memiliki identiti tersendiri.

Dari sudut pandang hadapan, rupanya saling tidak tumpah seperti kembar sedannya, Vios yang tampil dengan tiga varian yang ditawarkan iaitu model asas, Yaris 1.5J, versi pertengahan, Yaris 1.5E dan versi tertinggi, Yaris 1.5G.

Perubahan paling ketara me­libatkan bahagian belakangnya yang kelihatan C-pillar berwarna hitam dan lampu belakang lebih tajam sekali gus membezakan rupanya dengan Vios.

Sebanyak lima pilihan warna ditawarkan iaitu Citrus Mica Metallic, Red Mica Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan Super White II.

Yaris dikuasakan enjin 2NR-FE 1.5 liter, empat silinder DOHC Dual VVT-i yang ditala untuk memberikan penjimatan dan penyaluran kuasa serta tork yang lancar.

Semua varian Yaris yang menggunakan transmisi Sport Sequential Shiftmatic tujuh kelajuan itu turut mempunyai mod manual bagi membolehkan pemandu memilih kedudukan gear dalam sistem transmisi berubah-ubah berterusan (CVT) bagi mendapatkan maklum balas yang lebih pantas.

Dipadankan dengan rim aloi 16 inci (varian E dan G) selain dilengkapi lampu hadapan dan belakang LED serta lampu nyalaan siang (DRL).

Yaris E pula ditambah dengan stereng pelbagai fungsi, sistem infotainment DVD-AVX dengan skrin sesentuh 6.8-inci bersama USB Miroring dan kamera pandangan panaromik 360-darjah serta dashcam.

Bagi Yaris G ditambah de­ngan sistem pendingin hawa automatik, tombol gear dan roda stereng balutan kulit, paparan instrumen Optitron bersama paparan pelbagai info 4.3-inci, port USB kabin belakang dan juga enam pembesar suara.

Kesemua varian Yaris akan hadir standard dengan fungsi Follow Me Home pada lampu utama dan lampu nyalaan siang LED. Bagi membezakan vari­an, model asas 1.5J menerima lampu utama Multi Reflector Halogen, lampu belakang jenis mentol, pemegang pintu luar dan gril hadapan dengan warna badan, lampu kabus belakang, penderia tempat letak kereta belakang serta rim aloi bersaiz 15 inci yang dibaluti tayar 185/60R15.

CIRI KESELAMATAN

Ciri keselamatan dilengkapi dengan tujuh beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki, Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Pemantauan Titik Buta (BSM) yang sangat membantu pemandu mengesan kenderaan lain khususnya motosikal yang berada di sudut atau belakang kereta.

Model E dan G ditambah pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang. Hanya versi tertinggi (Yaris G) diberikan brek cakera pada roda belakang.

KEMASAN DALAMAN

Yaris mengangkat tema ‘hidup perlukan Y’ selari de­ngan kemasan dalaman ken­deraan tersebut apabila penulis melihat susun atur butang bantuan pemanduan yang menarik dengan papan pemuka dengan getah lembut menjadikan ia nampak eksklusif.

Pada bahagian dalaman, kesemua varian Yaris akan menerima tempat duduk fabrik dengan jahitan benang biru, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, mod pemanduan dengan pilihan Eco dan Sport dan empat pembesar suara.

Model asas Yaris J hanya diberikan sistem audio dengan pemain utama cakera digital, radio bersama capaian Bluetooth.

Penulis tidak terganggu langsung dengan sebarang bunyi bi­sing di jalan raya kerana benar Yaris kenderaan yang kedap bunyi dan bertepatan dengan moto syarikat pengeluar kenderaan antarabangsa dari Jepun itu, ‘semuanya adalah kerana pemanduan’.

Toyota Yaris dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM70,888 (1.5J), RM76,888 (1.5E) dan RM83,888 (1.5G) bagi pasaran Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini