Prestasi terbaik Perodua - Utusan Malaysia

Prestasi terbaik Perodua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Mei – April merekodkan prestasi terbaik dalam sejarah Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dengan jumlah jualan melebihi 22,100 buah, peningkatan 11 peratus berbanding 19,939 buah pada April 2018.

Ini menjadikan momentum jualan Perodua untuk empat bulan pertama 2019 kekal kukuh dengan peningkatan 9.5 peratus kepada 82,700 buah dari Januari hingga akhir April 2019, berbanding dengan 75,500 buah yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun lalu, didorong permintaan berterusan untuk ­semua modelnya.

Prestasi ini merupakan pencapaian jualan terbaik bagi empat bulan pertama dalam sejarah Perodua.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, permintaan untuk SUV tujuh tempat duduk baharu, ­Perodua Aruz, melebihi jangkaan dan pengeluaran dipercepatkan untuk memenuhi permintaan tersebut serta mengurangkan tempoh menunggu.

“Sejak Aruz dibuka untuk tempahan pada 3 Januari lalu, hampir 20,000 tempahan ­diterima, iaitu purata 170 tempahan setiap hari. Setakat hari ini, lebih daripada 9,800 Aruz telah diserahkan sejak pendaftaran bermula pada 31 Januari 2019 dengan purata ­lebih 100 buah setiap hari. Ini menjadikan ia antara SUV ­paling laris di negara ini.

“Myvi pula kekal menjadi model terlaris kami. Sejak pelancarannya pada November 2017, kami telah menyerahkan lebih daripada 115,000 buah Myvi kepada pelanggan kami, yang menggemari reka bentuk bergaya, kualiti, kecekapan bahan api, ruang dalaman yang luas serta ciri-ciri canggih yang diperolehi untuk harga tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Beliau juga percaya pegangan pasaran Perodua adalah me­lebihi 43 peratus bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada ekonomi domestik secara keseluruhan.

“Malah, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, Perodua telah membelanjakan RM1.8 bilion untuk membeli komponen daripada pembekal automotif tempatan dan optimis dapat memenuhi komitmen kami untuk membeli RM5.4 ­bilion dalam komponen pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, Perodua akan terus berusaha memenuhi komitmennya untuk membeli daripada pembekal komponen automotif domestik pada tahun-tahun akan datang, walaupun menghadapi keadaan pasaran yang mencabar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini