Kedatangan Ramadan bawa keceriaan kepada pelajar UUM - Utusan Malaysia

Kedatangan Ramadan bawa keceriaan kepada pelajar UUM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA 6 Mei – Kedatangan Ramadan kali ini memberi 1,001 makna kepada pelajar tahun kedua Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam, Noor Asniza Abd. Razak dan keluarganya apabila hasrat mereka untuk memiliki semula rumah baharu tercapai hari ini.

Rumah pusaka yang didiami Noor Asniza bersama keluarganya di Kampung Raja, Jeram di sini, sejak lebih 10 tahun lalu itu, sebelum ini, musnah dalam kebakaran pada Februari lalu sehingga menyebabkan kesemua mereka terpaksa tinggal sehelai sepinggang.

Prihatin terhadap nasib menimpa pelajar itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Persatuan Alumni UUM (PAUUM) dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara berbesar hati untuk membina semula sebuah rumah untuk keluarga ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi mengambil semangat sempena bulan suci umat Islam itu, penyerahan kunci rumah baharu tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani kepada bapa Noor Asniza, Abd. Razak Kassim, iaitu seorang pesara tentera, hari ini.

Ahmad Bashawir ketika ditemui berkata, pembinaan semula rumah itu adalah lambang kepada kesepakatan warga UUM dan komuniti setempat bagi membantu golongan yang memerlukan, apatah lagi apabila tibanya Ramadan.

Beliau turut kagum apabila rumah baharu itu berjaya disiapkan dalam tempoh singkat iaitu selama 35 hari sahaja.

“Saya berterima kasih kepada semua yang memberikan sumbangan sama ada wang, tenaga dan buah fikiran untuk menjadikan hasrat murni ini menjadi satu kenyataan,” katanya semasa Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kepada Mangsa Kebakaran di sini.

Yang hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali; Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Utara, Mohd. Nazri Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif UAC Berhad, Gan Boon Ting.

Dalam pada itu, Noor Asniza terharu dengan sikap prihatin UUM yang sanggup membina semula rumahnya yang terbakar, kira-kira dua bulan lalu.

“Saya berterima kasih kepada UUM kerana mengembalikan semula keceriaan kepada saya dan keluarga, tambah-tambah lagi dengan kedatangan Ramadan ini.

“UUM telah banyak membantu saya dan keluarga daripada aspek kewangan sehinggalah dapat memiliki rumah baharu ini dan kini kami tidak perlu lagi menumpang di rumah saudara terdekat untuk menyambut Ramadan dan Syawal,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Untuk rekod, seramai 200 orang Sukarelawan UUM bersama 60 Perajurit Muda dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan 78 ahli Persatuan Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior serta penduduk tempatan bergotong-royong membersihkan rumah Noor Asniza sebelum proses pembinaan semula dijalankan pada penghujung Mac lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini