PONTIAN 6 Mei – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang merancang untuk mengadakan latihan kesiapsiagaan untuk komuniti di kawasan atau kampung yang berisiko dilanda banjir atau bencana alam lain.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Roslan Wahab berkata, menerusi latihan seperti itu penduduk kampung akan dapat mengambil langkah-langkah awal untuk menyelamat keluarga dan penduduk ke tempat yang selamat sebelum pasukan penyelamat tiba.
“Jalinan kerjasama dengan komuniti setempat diharap dapat membantu APM menyampaikan maklumat awal sekiranya berlaku kejadian atau bencana di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai Latihan Pengendalian Bot Peringkat APMM Johor di Tanjung Piai Resort di sini kelmarin.
Roslan sebelum itu mengetuai 50 pegawai dan anggota APM negeri menggunakan sembilan buah bot dan dua buah Sealage dari Jeti Jabatan Laut Gelang Patah ke Jeti Nelayan Tanjung Piai di sini.
Yang turut hadir Pengarah APM negeri, Kol. (PA) Mat Zin Bujang dan Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Tanjung Piai, Musa Khamis. – UTUSAN ONLINE











