MANCHESTER 6 Mei – Bos Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan Liga Perdana Inggeris (EPL) merupakan liga paling kompetitif sepanjang dia bergelar jurulatih selama 10 musim yang menyaksikan kejayaan menjulang 25 trofi.
City kini memenangi 12 aksi liga berturut-turut dan hampir menamatkan saingan dalam dua pasukan teratas dengan baki dua perlawanan malah skuad The Citizens muncul juara EPL dengan memecahkan rekod 100 mata .
Perebutan EPL masih terbuka di antara City dan Liverpool dan skuad kendalian Jurgen Klopp itu hanya tewas sekali pada musim ini ketika menentang City pada Januari lalu dan mereka melakar kemenangan kelapan berturut-turut ketika menewaskan Newcastle 3-2.
“Ya, ini adalah liga paling sukar yang pernah saya beraksi sebagai pengurus sebab kualiti yang dimiliki lawan.
“Tidak diragui. Bagaimanapun, sudah tentu hanya pasukan terbaik yang akan membawa pulang hadiah ke rumah manakala satu lagi pulang dengan kesedihan,” kata Guardiola yang merupakan bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich.
Guardiola teruja menyaksi pemainnya mengekalkan standard permainan berdasarkan musim lalu selepas memecah rekod kutipan mata malah menjuarai Piala Liga selain menghidupkan dua lagi trofi domestik iaitu liga dan Piala FA.
“Apabila anda mendapat 100 mata, semua orang fikir kami tidak tahu apa yang akan dilakukan (musim berikutnya). Berada di tahap ini, baki dua perlawanan dengan 92 mata selepas mengumpul 100 mata musim lalu, berada di sini pastinya menjadi kepuasaan saya sebagai pengurus.
“Jujurnya bukan mudah dan mereka mengulanginya. Sekarang, kami cuba untuk menewaskan Leicester dan beraksi dalam aksi terakhir liga di Brighton dengan peluang untuk bergelar juara,” katanya lagi. – AFP











