Pukat tunda haram jejas pendapatan nelayan - Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Pukat tunda haram jejas pendapatan nelayan – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR 6 Mei – Masalah bot nelayan luar yang menggunakan pukat tunda haram di perairan Parit Jawa di sini hingga menjejaskan hasil tangkapan kira-kira 800 nelayan setempat akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet yang akan datang.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, masalah tersebut perlu diatasi segera termasuk menerusi kerjasama beberapa agensi dan jabatan kerajaan untuk mencari penyelesaian.

“Saya juga akan memanjangkan perkara ini kepada pihak berkuasa lain seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan melawat dan meninjau kawasan perairan tersebut dengan menaiki bot nelayan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Muar, Kamaruddin Arshad berkata, masalah pencerobohan bot pukat tunda haram di kawasan sekitar 10 batu nautika dari Jeti Parit Jawa sudah berlarutan dan menjejaskan tangkapan mereka sejak sekian lama.

“Selalunya operasi bot pukat tunda dari luar yang jumlahnya mencecah sehingga 20 buah dalam satu masa adalah selama 72 jam atau tiga hari secara terus-menerus.

“Ketika operasi menangkap ikan oleh bot pukat tunda ini hasil tangkapan nelayan hanyalah sekitar RM400 hingga RM500 sehari berbanding sekitar RM2,000 pada hari mereka tidak beroperasi,” katanya.

Menurut Kamaruddin, biasanya selepas tiga hari operasi menangkap ikan, bot pukat tunda akan bercuti untuk sehari atau dua hari dan kesempatan itu diambil nelayan untuk memperoleh tangkapan yang banyak sehingga RM2,000 sehari.

Dakwanya, bot pukat tunda selalunya akan menangkap hasil laut yang bersaiz besar dalam jumlah banyak dan yang tinggal untuk nelayan setempat adalah ikan kecil selain jumlahnya sedikit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini