KUALA LUMPUR 6 Mei – Kapal Diraja (KD) Todak, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menahan sebuah bot nelayan asing dipercayai dari Vietnam pada jarak lebih kurang 60 batu nautika utara Kuching, Sarawak, semalam.
Memetik laporan Utusan Borneo, Pegawai Memerintah KD Todak, Leftenan Kolonel Ahmad Zaki Ismail berkata, bot nelayan bersama 31 orang terdiri daripada awak-awak serta tekong itu ditahan kerana dikesan menceroboh perairan negara dipercayai untuk melaksanakan aktiviti menangkap ikan secara haram.
“Siasatan awal mendapati kesemua awak-awak tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta dipercayai warganegara Vietnam.
“Bot beserta awak-awak tersebut telah diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menegaskan, kapal-kapal TLDM khususnya di bawah naungan Markas Pemerintahan Armada Timur akan terus melaksanakan rondaan meskipun dalam bulan Ramadan, demi memastikan sumber ekonomi negara dilindungi serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. – UTUSAN ONLINE











