Peng Soon, Liu Ying rangkul gelaran kedua - Utusan Malaysia

Peng Soon, Liu Ying rangkul gelaran kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALALUMPUR – Penantian beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk merangkul gelaran kedua musim ini berakhir apabila mereka berjaya memenangi Kejohanan Badminton Terbuka New Zealand di Stadium Eventfinda semalam.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung semalam, bekas beregu kebangsaan itu memastikan gelaran menjadi milik mereka selepas menewaskan pilihan kelima dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti menerusi aksi tiga set 21-14, 16-21, 29-27.

Beraksi dalam perlawanan yang memakan masa hampir sejam sete­ngah itu, Peng Soon me­ngakui sangat puas dengan kemenangan tersebut, selain gembira apabila merangkul gelaran kedua musim ini selepas kali terakhir melakukannya pada Thailand Masters Januari lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sangat gembira dengan kemenangan pada hari ini (semalam), lebih-lebih lagi kami menampilkan aksi yang sa­ngat baik. Harus diakui, saya sangat berpuas hati kerana pasukan lawan turut memberikan tentangan yang cukup hebat.

“Ini adalah gelaran kedua kami pada musim ini, jadi sudah tentu ia merupakan pencapaian yang amat baik untuk kami. Saya dan Liu Ying menunjukkan persefahaman yang sangat baik sepanjang perlawanan serta membantu satu sama lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada masa sama, Peng Soon mengakui mereka berada dalam keadaan sedikit tertekan pada mata-mata akhir set penentuan memandangkan kedua-dua pasukan saling bertukar servis, namun tuah nyata memihak kepada mereka apabila menang 29-27.

Kejayaan itu juga sedikit sebanyak memberi suntikan semangat buat beregu yang berada pada ranking kelima dunia tersebut memandangkan Terbuka New Zealand merupakan kejohanan pertama menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tahun depan.

“Ketika berada pada situasi tersebut (mata-mata penting), sudah tentu kami berdepan sedikit tekanan kera­na sedikit kesilapan akan membawa padah. Bagaimanapun, kami berjaya mengawal tekanan sebelum memastikan gelaran menjadi miliki kami,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Liu Ying mene­gaskan, mes­kipun mereka berjaya membawa pulang gelaran tersebut tetapi mereka masih belum kembali ke prestasi terbaik memandangkan masih ada beberapa kelemahan yang dapat dikesan sepanjang perlawanan tersebut.

“Saya sangat gembira menang ke atas mereka kerana pertemuan sebelum ini banyak memihak kepada mereka. Walaupun hari ini (semalam) kami bermain bagus, namun masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki jika mahu kembali ke prestasi lama,” kata Liu Ying.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini