PUTRAJAYA 6 Mei – Bangsa Malaysia yang berjaya mengawal nafsu daripada perkara tidak baik termasuk rasuah akan dihormati oleh seluruh dunia, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, jika nafsu berkenaan gagal dikawal, maka pelbagai masalah akan timbul sekali gus menjadikan mereka lemah dan tidak mungkin mencapai kejayaan.
Menurut beliau, hanya mereka yang kuat mampu melawan nafsu.
“Kita perlu menggunakan bulan puasa bukan sahaja untuk mengerjakan ibadat puasa tetapi untuk melatih diri agar dapat menolak gesaan nafsu dengan jayanya.
“Bila berjaya lawan nafsu maka masa atau bulan-bulan lain juga kita berupaya melawan nafsu dari melakukan perkara tidak baik,” ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bulan Mei 2019 di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta menteri-menteri Kabinet.
Sementara itu, jelas Dr. Mahathir, sekiranya seseorang itu dapat melawan nafsunya daripada melakukan perkara yang tidak baik nescaya dia akan diberi kepercayaan serta dinaikkan pangkat.
“Hanya yang dapat menolak nafsu sahaja yang akan dipilih dan dipercayai sebagai pegawai atau pemimpin,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, ibadah puasa menggalas nilai-nilai disiplin serta kawal diri daripada melakukan perkara yang tidak baik.
“Kita dilarang dari melakukan sebarang jenis jenayah dan ini satu perkara penting bukan sahaja pada bulan puasa.
“Tetapi bulan puasa yang bermula hari ini melatih dan mengawal diri, berdisiplin serta menolak perkara tidak baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE











