“…Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.’’
Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 26 ini amat tepat sekali bagi menggambarkan perjalanan Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang pada Sabtu lalu memulakan tugas sebagai Ketua Polis Negara – satu tanggungjawab yang sebelum ini dipikul selama setahun 10 bulan oleh Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Abdul Hamid pernah ‘disingkirkan secara terhormat’ daripada PDRM hanya semata-mata mahu menegakkan kebenaran dan mempertahankan integriti.
Sememangnya ketegasan itu ada risikonya tetapi Abdul Hamid yakin apa yang beliau lakukan adalah betul. Justeru dengan rekod perkhidmatannya, sudah pastilah harapan tinggi disandarkan kepada anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini untuk memastikan PDRM terus menjadi sebuah pasukan yang dihormati oleh semua pihak.
Berdasarkan perbualan penulis dengan sahabat-sahabat yang berada dalam pasukan keselamatan tersebut, mereka berasa bangga dengan perlantikan Abdul Hamid berikutan integritinya dan dianggap pegawai yang tidak tahu hanky panky tetapi pada masa sama mereka menaruh harapan tinggi kepada beliau.
Kira-kira sebulan lalu, Mohamad Fuzi pernah melahirkan kekecewaan apabila melihat masih ada pegawai dan anggota PDRM terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.
Kata Mohamad Fuzi, beliau sudah melakukan segala usaha namun masih ada ‘kerbau yang membawa lumpur sehingga semua terpalit’. Inilah cabaran terbesar kepada Abdul Hamid.
Sebagai seorang dianggap mempunyai integriti tinggi, sikap itu harus diterapkan setegas-tegasnya kepada seluruh masyarakat PDRM.
Langkah ini bukanlah bermakna gejala semakin parah tetapi tidak ada salahnya Abdul Hamid menanam tekad menghapusnya sama sekali.
Memetik kata-kata Mohamad Fuzi, daripada 130,000 anggota pasukan itu, kes salah laku hanyalah 0.04 % atau 52 kes sejak 2016 hingga 2018, tetapi kerana segelintir pegawai atau anggota terlibat, satu pasukan jadi mangsa.
Oleh itu persepsi ‘lu tolong gua, gua tolong lu’ dan ‘segalanya bisa diatur’ yang masih menebal dalam kalangan masyarakat apabila bercakap soal PDRM harus dihapuskan sama sekali.
Dalam soal ini, Abdul Hamid perlu memastikan tiada mana-mana pegawai kanan atau anggota PDRM terlibat dengan aktiviti yang boleh menjejaskan pasukan tersebut, tidak kira siapapun mereka.
l Kebajikan
Dengan kehadiran Abdul Hamid, ramai melihat inilah saat terbaik untuk memulihkan imej polis yang sedikit secalar akibat salah laku segelintir pegawai atau anggota yang menjadikan kuasa sebagai lubuk untuk hidup mewah secara haram.
Sebagai seorang yang dianggap merendah diri, Abdul Hamid disandarkan harapan memperjuang kebajikan pegawai dan anggota PDRM. Kesemua mereka perlu dipastikan berada dalam keadaan selesa dalam menjalankan tugas.
Antara perkara yang perlu diberikan keutamaan ialah keadaan kuarters dan balai yang usang. Pengalaman ketika melalui atau memasuki kawasan itu menyebabkan perasaan penulis tersentuh.
Penulis kagum dengan sikap dedikasi pegawai dan anggota PDRM yang tetap komited bertugas walaupun suasana kediaman dan tempat bertugas sesetengahnya terlalu usang.
Kesemua mereka adalah pejuang dan wira negara, dan sepatutnya kebajikan mereka harus diutama seperti ditegas Mohamad Fuzi dalam wawancara terakhir dengan Utusan Malaysia Jumaat lalu.
Oleh itu Abdul Hamid perlu memperjuangkan perkara ini kerana pengorbanan pegawai dan anggota PDRM terlalu besar, mereka tidak seharusnya dikerahkan bertugas siang dan malam tetapi keselesaan mereka seolah-olah diabaikan.
Penulis yakin Abdul Hamid mempunyai keupayaan untuk menyakinkan kerajaan untuk memulihkan situasi ini. Abdul Hamid mengambil alih tanggungjawab Ketua Polis Negara ketika polemik berhubung Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) hebat diperkatakan.
Pelbagai pandangan dilontar pelbagai pihak, semuanya harus diambil kira sebelum satu keputusan terbaik dibuat.
Sudah pastilah Abdul Hamid sebagai seorang yang disifatkan mengalir darah kepolisian diwarisi daripada ayahnya akan meneliti semua pandangan terutamanya daripada warga PDRM. Oleh itu mereka perlu memberi kepercayaan kepadanya bagi menanganinya. Apa yang penting sebarang keputusan perlu mengambil kira moral anggota pasukan tersebut.
Kesimpulannya, cabaran yang menanti Abdul Hamid agak getir, namun penulis yakin beliau mampu melaksanakannya. Justeru kepada pegawai dan anggota polis berilah sokongan padu kepada Abdul Hamid.
Bantulah beliau untuk sama-sama memperkukuhkan pasukan tersebut berdasarkan semangat menegakkan kebenaran melalui integriti tinggi.











