Dua beranak yang dilaporkan hilang ditemukan selamat - Utusan Malaysia

Dua beranak yang dilaporkan hilang ditemukan selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK – Dua nelayan yang hilang selepas keluar menangkap ikan menggunakan bot sekoci di perairan Kuala Kemasin, di sini semalam ditemui selamat hari ini.

Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, kedua-dua nelayan itu ditemui pada pukul 2.30 petang kira-kira lima batu nautika dari Kuala Kemasin.

Menurutnya, mangsa Ramli Yusof, 57, dan anaknya, Ramzie, 26, dari Kampung Pantai Daramain Perupok, di sini ditemui  selepas hampir 20 jam  di laut akibat kerosakan enjin bot. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dua beranak itu keluar menangkap ikan kira-kira pukul 8 pagi semalam dan dilaporkan hilang pukul 7 malam hari yang sama.

“Gerakan mencari dan menyelamat  bermula pukul 12 tengah malam tadi oleh tiga pegawai yang menggunakan Bot Kilat 17 yang turut dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan tempatan meliputi  jarak 10 batu nautika.

“Mereka ditemui selamat lima batu nautika dari Kuala Kemasin selepas terkandas di laut berikutan bot dinaiki rosak. Dua beranak itu dibawa pulang ke Kuala Kemasin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ismail berkata, bot sekoci yang gagal dibaiki enjinnya ditunda oleh nelayan ke Kuala Kemasin.

Ramli ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bersahur dan menyambut awal Ramadan bersama keluarga kerana berjaya diselamatkan pasukan penyelamat. 

“Dalam tempoh 20 jam kami sering berdebar dan cemas berhadapan dengan gelombang besar, hujan dan ribut kuat,” katanya. 

Menurutnya,  dia ke laut bersama anaknya untuk mengail ikan kerisi dan mencandat sotong untuk dijual bagi menampung keperluan keluarga sepanjang bulan Ramadan. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini