KUALA LUMUR 5 Mei – Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim tetap berpuas hati dengan kutipan satu mata yang diraih anak buahnya ketika mengikat Terengganu FC (TFC) 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, semalam.
Jelasnya, walaupun pasukannya berjaya mendahului dua kali tetapi ternyata pengalaman finalis Piala Malaysia itu membantu pasukan lawan untuk bangkit.
“Pemain telah bermain mati-matian dan dua kali mendahului tetapi bertemu pasukan Terengganu yang merupakan pasukan berpengalaman satu mata dan elak daripada kekalahan adalah paling penting.
“Kita akan terus memberi cabaran sengit dalam liga. Tadi pemain banyak melakukan kesilapan dengan kekasaran dekat dengan kotak penalti dan pasukan lawan memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin, apa pun satu mata cukup berharga,” katanya selepas perlawanan, semalam.
Selepas aksi menentang TFC, Abu Bakar berkata tumpuan pasukannya selepas ini ialah bagi menghadapi pasukan Perak dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak di Ipoh pada 11 Mei ini selepas seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama, 30 April lalu.
“Suku akhir kedua merupakan perlawanan sukar dan kita telah berusaha untuk berada di kedudukan ini. Penentu siapa akan ke separuh akhir akan ditentukan di Stadium Perak.
“Bagi saya, pemain harus guna pentas suku akhir ini untuk bermain sebaik mungkin sebab kita tahu kelebihan banyak memihak kepada pasukan Perak daripada segi kualiti, gelaran dan penyokong,” katanya. – UTUSAN ONLINE











