KUALA LUMPUR 5 Mei – Seorang doktor wanita berputih mata setelah kerugian sebanyak RM43,000 kerana menjadi mangsa penipuan sindiket Macau scam.
Memetik laporan portal SabahNews Today, mangsa, Nabila Ramli, 27, ditipu setelah menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali dan memperkenalkan diri sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 26 April lalu pada pukul 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Supritenden Azmir Abd. Razak berkata, individu yang tidak dikenali itu, telah mendakwa bahawa mangsa telah membuat tujuh kali transaksi wang bernilai RM530,000 dan terlibat dengan pengubahan wang haram serta kegiatan dadah.
Menurutnya, mangsa kemudian telah disambungkan kepada seorang lagi individu lain dikenali sebagai Sarjan Fadly Abdullah di Bahagian Bukit Aman yang memberitahu mangsa mempunyai waran tangkap dan waran untuk pembekukan aset.
“Individu yang tidak dikenali itu mencadangkan jika mangsa mahu menyelesaikan masalah berkenaan dengan syarat semua aset mangsa dipindahkan ke dalam akaun atas nama Tay Guan.
“Mangsa yang panik itu membuat transaksi sebanyak RM4,000 secara atas talian ke akaun berkenaan serta ke akaun atas nama Effendy sehingga jumlah keseluruhan mencecah RM43,000,” lapor SabahNews Today.
Azmir memberitahu, mangsa menyedari dirinya tertipu selepas selesai membuat transaksi pembayaran dan membuat laporan polis.
“Siasatan lanjut berkaitan kes terbabit masih dijalankan dan operasi memburu suspek giat dilaksanakan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











