Raya lebih bermakna jika menang - Utusan Malaysia

Raya lebih bermakna jika menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Mei – Merayakan Aidilfitri tahun ini pasti lebih bermakna dan meriah sekiranya skuad Harimau Malaya berjaya melepasi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan menewaskan Timor Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 7 dan 11 Jun ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata, mood beraya dan semangat Aidilfitri itu juga perlu diterapkan anak-anak buah Tan Cheng Hoe walaupun mungkin kehadiran penyokong di stadium agak merosot.

“Takkan kita hendak meraikan Aidilfitri dalam mood pasukan negara kalah, lebih baik beraya dengan suasana gembira kerana menang. Biar sampai peminat yang bila bekunjung raya ke rumah saudara dan rakanpun, masih bercerita tentang kejayaan pasukan bola sepak kita.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Inilah sambutan raya yang lebih bermakna, walaupun, akan ada kesan sedikit pada kehadiran penyokong kita di stadium,” katanya ketika ditemukan selepas Hari Bola Sepak Akar Umbi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di sini, hari ini.

Beliau mengulas peluang keemasan yang diperoleh skuad negara kerana mendapat kelulusan AFC untuk bermain aksi timbal balik kelayakan dalam minggu pertama Aidilfitri di Bukit Jalil tanpa perlu bertandang ke laman lawan di Dili.

Stadium Perbandaran Dili dikatakan tidak menepati piawaian perlawanan antarabangsa sehingga memaksa Timor Leste ‘meminjam’ Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur ketika saingan Kumpulan B Piala AFF, November lalu.

Timor Leste juga pernah menjadikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru sebagai venue mereka bagi perlawanan kedua play-off ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 pada 6 Jun 2016 yang dimenangi Malaysia menerusi agregat secara percuma 6-0 kerana status pemain naturalisasi lawan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini