PARIT 5 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menafikan dakwaan beliau melobi untuk menjadi Menteri Besar Perak yang baharu.
Beliau berkata, dakwaan yang mengatakan beliau akan menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu adalah tidak benar sama sekali malah sengaja ditimbulkan pihak tertentu demi meraih keuntungan politik.
“Jika betul mahu melobi, pagi-pagi lagi saya akan hadir ke program (Tun Dr Mahathir Mohamad) hari ini dan hantar beliau balik. Macam itu caranya untuk melobi.
“Tidak benar (gantikan Menteri Besar), tidak pernah terlintas pun untuk melobi. Kalau mahu jadi Menteri Besar, sebenarnya pihak yang satu lagi yang tawarkan saya jawatan itu,” katanya ketika ditemui selepas program Menteri Besar Bersama Komuniti Kampung sempena Ramadan Al Mubarak di Dataran Kampung Selat di sini hari ini.
Menurut Zainol Fadzi, tindakan menularkan berita tidak benar itu merupakan helah pihak tertentu bagi mewujudkan suasana tidak harmoni dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) setelah mendapati suasana pentabiran kerajaan kini berjalan baik.
Malah katanya, pihak pembangkang juga cuba mencari isu dengan menularkan perkara-perkara yang sama sekali tidak berasas dan berfakta.
“Sebagai orang politik saya melihat apa juga isu yang ditimbulkan dan ditularkan adalah lebih bertujuan untuk gimik politik.
“Bagi saya, saya tiada hasrat langsung untuk meminta apa-apa jawatan. Sejak menyatakan sokongan kepada Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar, tiada perkara yang saya minta sebagai balasan.
“Malah, jawatan sebagai Penasihat Menteri Besar ini pun saya tidak pernah minta cuma diminta untuk membantu beliau, itu saja,” katanya.
Terdahulu tular dalam media sosial yang mendakwa Zainol Fadzi yang juga Penasihat kepada Menteri Besar melobi jawatan Menteri Besar Perak di mana Ahmad Faizal pula akan bertukar ke Putrajaya. – UTUSAN ONLINE











