Polis tahan lelaki pukul wanita di Jalan Datuk Keramat - Utusan Malaysia

Polis tahan lelaki pukul wanita di Jalan Datuk Keramat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan suspek lelaki yang memukul seorang wanita di Jalan Datuk Keramat di sini dalam sebuah video yang tular di laman media sosial pada 1 Mei lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suspek memukul wanita tersebut dipercayai berpunca daripada kemalangan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, suspek ditahan pada Khamis lalu, sehari selepas kejadian kira-kira pukul 10 malam di sebuah alamat di Kampung Datuk Keramat di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Polis telah menahan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 37 tahun yang dipercayai merupakan suspek dalam kejadian tersebut.

“Hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati negatif,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Noor Azmi menambah, siasatan diteruskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Suspek telah direman selama empat hari bermula 3 Mei lalu hingga Selasa ini.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya semasa tempoh reman suspek,” ujarnya.

Khamis lalu, tular sebuah video menunjukkan seorang wanita ditumbuk dan ditampar pada bahagian muka oleh suspek.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Honda Civic di laluan kiri di Jalan Dato’ Keramat di sini tiba-tiba didekati seorang lelaki menaiki motosikal jenis Honda Dash datang dari arah belakang kereta tersebut.

Lelaki itu kemudian telah memaki dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadu dan menuduh pengadu memasuki simpang tanpa memberikan isyarat lampu selain turut menampar dan menumbuk muka mangsa ketika dia keluar untuk melihat kerosakan yang dialami keretanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini