Kanak-kanak kanser tidak sabar ke sekolah - Utusan Malaysia

Kanak-kanak kanser tidak sabar ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA 5 Mei – Hati seorang kanak-kanak di sini, seakan-akan meronta-ronta untuk ke sekolah dan bertemu rakan-rakan semula setelah hampir setahun meninggalkannya.

Namun apakan daya tahap kesihatannya yang tidak mengizinkan, menyebabkan Hadi Zakril Ahmad Zakri, 14, terpaksa melupakan hasrat itu sekarang.

Hadi Zakril yang merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi di sini, merupakan pesakit kanser otak tahap empat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rindu sangat hendak pergi sekolah, jumpa rakan-rakan dan bermain bola sepak. Tapi Hadi (Zakril) faham tidak boleh kerana masih belum baik (pulih),” katanya.

Dia ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Teriak, Mukim Telaga Mas di sini, baru-baru ini yang turut ditemani datuknya, Baharom Tasu, 63.

Hadir sama Ratu Sepanjang Hayat Sejagat serta Duta Kanser Kanak-kanak, Tracie Chan dan Presiden Duta Kanser Kanak-kanak Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN), Maznah Tayib.

Kali terakhir Hadi Zakril ke sekolah adalah selepas Hari Raya Aidilftri tahun lalu sebelum kanak-kanak itu terpaksa menjalani rawatan kimoterapi dan seterusnya pembedahan di bahagian kepala baru-baru ini.

Pada masa ini, kanak-kanak itu yang dijaga oleh Baharom kerana ibu bapanya yang bercerai, terpaksa menghabiskan masa bermain seorang diri di hadapan rumah kerana tidak boleh terlalu terdedah kepada persekitaran.

Menurut Baharom, pihak sekolah memberi kebenaran supaya Hadi Zakril bercuti panjang sehingga tahap kesihatan cucunya itu kembali pulih dan mengizinkan.

“Pihak sekolah bimbang sekiranya berlaku perkara tidak diingini terhadap Hadi Zakril, maklumlah apabila dikelilingi pelajar-pelajar lain, takut tersalah bergurau,” katanya.

Tambah penoreh getah itu, Hadi Zakril yang berminat dalam bidang mekanik mempunyai semangat yang luar biasa untuk melawan penyakitnya.

“Saya difahamkan, kalau pesakit kanser lain terutama melibatkan bahagian otak, biasanya akan lemah dan terbaring,” katanya.

Dalam pada itu, Tracie yang dalam usaha mempromosikan kesedaran terhadap kanser kanak-kanak atau dikenali sebagai ‘Reben Emas’ di negeri ini turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan duit raya.

Seramai empat orang penerima bantuan tersebut iaitu Muhd. Aidil Azlan, 12, di Felda Teloi Timur dan Nur Qistina Balqis Zamri, 4, dari Kuala Ketil dan Nur Nadira Balqis Abd. Khalid, 10, dari Pokok Sena. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini