IPOH 4 Mei – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyempurnakan majlis penganugerahan bintang, pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Yang Dipertua PPM negeri selari dengan Undang-Undang Kecil PPM Perak serta dianugerahkan Bintang Semangat Padi Kelas Kedua Perak (BSP II).
BSP II merupakan anugerah kedua tertinggi PPM yang disampaikan kepada tokoh terbilang dan penganugerahannya amat terhad dan ekslusif, justeru penerimanya hanya terdiri dalam kalangan pemimpin negeri, negara serta pemimpin pengakap yang telah banyak berjasa.
Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan anugerah Sijil Pengakap Raja kepada 287 ahli pengakap negeri ini yang telah lulus dengan cemerlang bagi tahun 2017 dan 2018 sementara 70 pemimpin pelbagai peringkat pula menerima penganugerahan bintang dan pingat PPM.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman; Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Dr Mohd Shafie Mohd Salleh; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Prof. Datuk Dr. Mohd Zin Bidin dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Perak, Ahmad Azam Shah Abd Majid.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis tersebut, Ahmad Azam Shah berkata, pengakap mula bertapak di Perak pada tahun 1926 di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan hanya berbaki tujuh tahun untuk mencapai usia 100 tahun.
Menurut beliau, pada 27 Februari lalu, impian PPM Perak untuk memiliki bangunan baharu telah tercapai dengan mempunyai sebuah ruang pejabat dua tingkat terletak di Pusat Komersil Jelapang yang turut beroperasi sebagai pusat pentadbiran.
“Harapan dan impian kedua kami ialah memiliki sebuah kem latihan dan kemahiran pengakap negeri Perak. Kami telah membuat kunjungan hormat kepada Menteri Besar dan mempersembahkan lokasi sebidang tanah kerajaan negeri yang dicadangkan di pusat pelancongan Pantai Teluk Senangin.
“Menjadi doa dan harapan kami agar impian berkenaan dapat direalisasikan lebih-lebih lagi di bawah kepemimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE











