KEMAMAN 4 Mei – Sebanyak 25 keluarga ibu tunggal, miskin, pesakit kronik dan anak yatim di sekitar Kampung Mak Lagam di sini menerima sumbangan berupa barangan keperluan sempena Program Ziarah Ramadan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mak Lagam Harmoni semalam.
Pengerusi KRT Mak Lagam Harmoni, Mohd. Fadzilah Abd. Rahman berkata, program itu diadakan bagi membantu pesakit miskin dan kurang berkemampuan menikmati bulan Ramadan dengan lebih ceria, tenang menjelang Aidilfitri.
“Diharap dengan usaha ini kerunsingan dan kebimbangan yang dialami oleh mereka sedikit sebanyak dapat dikurangkan dengan bekalan makanan yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Katanya, program itu juga bagi menjiwai dan merasai kesusahan hidup mereka yang miskin dan kurang berkemampuan.
Beliau berkata, program tersebut melibatkan ahli jawatankuasa KRT Mak Lagam Harmoni yang menziarahi rumah pesakit serta bertanya khabar tentang kesihatan mereka.
Antara rumah yang dilawati ialah rumah orang miskin (12 buah), sakit kronik (5), ibu tunggal (6) dan anak yatim (dua buah).
“Kita harap program ini dapat diteruskan setiap tahun bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











