IPOH 4 Mei – Pelaksanaan tiga kadar pembayaran zakat fitrah di negeri ini bagi tahun ini bertujuan untuk menyantuni umat Islam yang secara suka rela mahu membayar lebih daripada ketetapan harga beras fitrah yang ditetapkan iaitu RM7.
Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim berkata, ini dibenarkan dalam syarak sebagai tatawwu’.
Menurutnya, dari segi pengurusan zakat yang mana setiap bayaran akan dikeluarkan resit, maka sering berlaku seorang pembayar fitrah memperoleh dua atau tiga resit dengan kadar gandaan bayaran RM7, RM14 dan RM21.
“Maka tahun ini resit dicetak siap-siap pada kadar RM14 dan RM21. Kadar yang wajib secara purata adalah RM7 seorang.
“Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) juga mengalu-alukan bayaran fitrah dengan kadar yang lebih secara tatawwu’ dan ia lebih anfa’ atau bermanfaat untuk fakir dan miskin,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, MAIPk memaklumkan, pembayaran zakat fitrah bagi tahun 1440H/2019M di negeri ini ditetapkan pada tiga pilihan harga iaitu RM7, RM14, RM21.
MAIPk memaklumkan bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan memperakui pandangan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Kali Ke-216 pada 16 Januari lalu bagi penetapan harga zakat fitrah tersebut.
Kata kenyataan itu, harga minimum yang perlu dibayar oleh setiap individu yang berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah ialah RM7.
Bagaimanapun, jelas MAIPk, adalah digalakkan pembayar fitrah untuk membayar melebihi kadar tersebut mengikut beras yang dimakan atas dasar tatawwu’.
Ia adalah RM14 bagi penggunaan beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut dan herba poni sementara RM21 bagi yang menggunakan beras basmathi, beras Jepun, beras merah dan seumpamanya. – UTUSAN ONLINE











