Akses, nikmati sajian online tanpa was-was - Utusan Malaysia

Akses, nikmati sajian online tanpa was-was

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA detik awal Nurul Nabila Noami, 27, bertugas sebagai penghantar barang bermotosikal (rider) merangkap pembeli peribadi untuk sebuah syarikat yang menyediakan khidmat penghantaran barangan runcit, dia pernah diminta membelikan daging babi dan minuman keras untuk pelanggannya.

Ini kerana, senarai pesanan masuk secara automatik menerusi aplikasi di peranti pintar membuatkan dia tidak boleh memilih. Terbit rasa ragu di hatinya mengenai pendapatan yang diterima sementelah insiden seumpama itu berulang beberapa kali.

Graduan universiti dalam jurusan perbankan itu pernah bekerja dalam bidang berkaitan pengajiannya namun dirasakan ia begitu menekan dan tidak serasi dengan jiwanya lantas dirinya selesa menjadi pekerja penghantar menggunakan motosikal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Waktu kerja yang fleksibel dan tidak terikat dengan waktu pejabat membuatkan dia memilih pekerjaan tersebut sejak beberapa tahun lalu.

“Saya mula menjadi rider sekitar tahun 2017 dan pernah bekerja dengan beberapa syarikat yang menyediakan khidmat penghantaran. Ada yang mempunyai sistem dan yang sebaliknya.

“Pernah saya diminta mengambil sesuatu barangan tanpa mengetahui apa ia sebenarnya untuk dihantar ke suatu lokasi. Ia agak berisiko terutamanya melibatkan barang mahal dan berharga seperti komputer riba atau barang kemas

“Takut juga jika ia merupakan barangan haram dan menyalahi undang-undang,” kongsinya kepada K2 ketika ditemui di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pertama

Tidak lama kemudian, apabila mendapat tahu terdapat kekosongan jawatan penghantar makanan oleh syarikat Echo Foxtrort Sdn. Bhd. yang baru menubuhkan jenama halal dikenali sebagai Bungkus by honestbee akhir tahun lalu, anak kelahiran Marang, Terengganu itu pantas membuat permohonan.

Bungkus by honestbee merupakan syarikat penghantar makanan pertama dan tunggal buat masa ini yang menerima sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi kategori logistik pada November tahun lalu.

Baru-baru ini, perkhidmatan itu telah dilancarkan secara rasmi dalam Persidangan Halal Dunia (WHC) Kesebelas sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2019 (MIHAS) di Kuala Lumpur.

Bahkan, dikatakan Bungkus by honestbee itu merupakan penyedia khidmat pertama seumpamanya di dunia.

“Sekarang tiada lagi masalah beg penghantaran barangan bercampur antara yang halal dan tidak halal kerana kami mengambil produk makanan yang disahkan halal oleh Jakim sahaja,” ujar Nurul Nabila.

Konsep halal realitinya tidak sekadar terhad kepada amalan penyembelihan mengikut syariat atau makanan yang jelas haram hukumnya seperti diketahui umum.

Dalam hal ini, aspek halalan toyyiban (halal dan baik) yang meliputi aspek kesucian dan keselamatan dalam mengurus dan menyediakan makanan perlu difahami dan dititikberatkan oleh umat Islam.

Seorang penghantar makanan, Mohd. Hamidi Mohd. Idris, 24, berkata, dalam usaha menjaga kebersihan makanan yang dihantar, penunggang motosikal akan membersihkan beg makanan setiap hari dan hanya membawa beg yang mempunyai nombor pengenalan unik yang dikhaskan untuk mereka sahaja.

“Perjalanan penunggang motosikal juga dipantau Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) yang dihubungkan dari peranti pintar. Selain memastikan pematuhan integriti, ia juga dapat memastikan makanan dihantar ke tangan pelanggan dengan selamat,” katanya yang mampu menjana pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sebulan dengan menjadi penghantar makanan bermotosikal.

Dalam hal ini, pekerja dibayar secara mingguan berdasarkan elaun mengikut jam serta jumlah trip penghantaran selain mempunyai gaji asas yang telah ditetapkan.

Ketua Pasukan Makanan, Bungkus by honestbee Malaysia, Tengku Afni Natasha Tengku Asmat berkata, buat masa ini perkhidmatan tersebut beroperasi di sekitar Lembah Klang dengan liputan kawasan melebihi 70 peratus selain ia telah mula dikembangkan ke Shah Alam, Selangor dan Putrajaya.

Permohonan

Ia juga telah diperkenalkan di Johor bermula bulan lalu dan dijangka turut diperluaskan ke Pulau Pinang pada suku kedua tahun ini.

“Buat masa ini terdapat lebih 40 jenama halal melibatkan kira-kira 1,700 outlet berkolaborasi dengan kami antaranya Burger King, Kenny Rogers Roasters, Jom Makan Palace, Baba Nyonya by Sambal Chilli dan lain-lain.

“Menerusi platform ini, kami turut berharap dapat mempromosikan perusahaan makanan kecil dan sederhana selain menggalakkan mereka mendapatkan sijil halal Jakim sekali gus meluaskan rangkaian pemasaran bisnes masing-masing,” ujarnya.

Pada peringkat awal sebelum Bungkus by honestbee ditubuhkan, Tengku Afni Natasha merupakan antara individu terawal dalam jawatankuasa halal dalaman Bungkus by honestbee untuk memperkenalkan perkhidmatan halal ini.

Bungkus by honestbee merupakan anak syarikat honestbee yang diasaskan di Singapura, Bungkus by honestbee ditubuhkan sebagai entiti berasingan pada tahun 2018 bagi memenuhi kriteria yang ditetapkan Jakim.

Honestbee merupakan platform pembelian barangan runcit online yang terdapat di lapan negara antaranya Hong Kong, Taiwan, Jepun, Filipina, Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Menurut Tengku Afni Natasha, pihaknya menunggu kira-kira setahun untuk memohon sijil halal kerana belum wujud kategori halal bagi perkhidmatan penghantaran makanan bermotosikal dalam kategori logistik. Jadi, apabila ada permohonan daripada pihak kami, Jakim memperkenalkan kategori tersebut.

“Operasi kami berasingan dengan honestbee termasuk menggunakan pekerja penghantar dan beg berbeza. Kesemua pekerja diwajibkan mendapatkan suntikan tifoid selain diberi kursus pengendalian makanan.

“Pendek kata, ia mengikut garis panduan yang ditetapkan Jakim yang kami akan audit dari semasa ke semasa,” katanya.

Slogan

Tambahnya, sempena Ramadan ini, pihaknya turut beroperasi pada waktu berbuka puasa untuk memudahkan para pelanggan yang mungkin tidak berkesempatan memasak atau membeli makanan di luar untuk berbuka.

Mengupas mengenai perkhidmatan ini yang mendukung slogan Makan Puas-Puas Tanpa Was-Was, Pengurus honestbee Malaysia, Afzan Lutfi berkata, pihaknya sedar, sebelum ini timbul kebimbangan berhubung garis panduan yang diguna pakai dalam perkhidmatan penghantaran makanan secara keseluruhan agar terjamin halal.

“Kami melihat risiko dicemari elemen haram sentiasa ada apabila penghantar mengambil makanan dari restoran tidak memiliki sijil halal atau restoran tidak halal dan pada masa sama menghantar pula makanan kepada pelanggan Islam menggunakan beg yang sama.

“Di Malaysia sebelum ini, pengguna Islam tidak mempunyai pilihan kerana belum ada platform penghantaran yang memberi jaminan berhubung perkara ini,” ujarnya.

Tegasnya, menyediakan perkhidmatan halal tidak terhad mendapat sijil halal semata-mata malah mereka yang terlibat harus mengamalkan kawalan mutu yang ketat dari aspek kualiti makanan dan kebersihan produk yang dikeluarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini