KUALA LUMPUR 3 Mei – Majlis Paluan Berundur sempena persaraan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun diserikan dengan persembahan Pancaragam Pusat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipimpinnya sendiri di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mohamad Fuzi yang secara rasminya tamat perkhidmatan esok memimpin pasukan pancaragam yang memainkan lagu kegemarannya dari Kumpulan Abba, Mamma Mia!.
Majlis yang diadakan dengan penuh adat istiadat PDRM itu turut dihadiri bekas-bekas Ketua Polis Negara, antaranya, Tan Sri Norian Mai dan Tan Sri Ismail Omar.
Turut hadir adalah Ketua Polis Negara baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan isteri, Datin Seri Norazrin Marzuki.
Majlis diakhiri dengan istiadat “Beating The Retreat” yang menyaksikan Mohamad Fuzi menaiki kenderaan istiadat bersama tiga anak perempuan dan menantu lelakinya dengan diiringi Pegawai Kanan PDRM. – UTUSAN ONLINE











