[VIDEO] Ibu tunggal didenda RM4,000 dera dua ekor anjing - Utusan Malaysia

[VIDEO] Ibu tunggal didenda RM4,000 dera dua ekor anjing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Gara-gara mendera dua ekor anjing miliknya, seorang ibu tunggal didenda sebanyak RM4, 000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah melalukan perbuatan itu pada tahun lalu.  

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Lai Woan Yong, 37, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemilik sepasang anjing jantan dan betina jenis kacukan masing-masing berwarna hitam serta coklat kehitaman didapati gagal melaksanakan tindakan wajar sehingga menyebabkan kesakitan serta penderitaan terhadap kedua-dua ekor anjing tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 10.20 pagi di sebuah rumah di Taman Merdeka, Hang Tuah Jaya pada 28 Jun 2018.

Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan oleh Pegawai Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka di kediaman tertuduh mendapati kedua-dua ekor haiwan itu terlalu kurus dan mempunyai jangkitan penyakit kulit selain kesan bengkak pada mata sebelah kiri anjing betina.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647) (semakan 2006) dan dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50, 000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Sia Sin Yee merayu hukuman terhadapnya diringankan dengan alasan kini terpaksa menanggung bebanan hutang perusahaan perabot miliknya, selain menyara ayah yang uzur serta seorang anak perempuan berusia 10 tahun seorang diri selepas ditinggalkan suaminya.

Pegawai Pendakwa JPV Melaka, Raja Mazlan Raja Mamat bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan memohon kos rawatan kedua-dua haiwan malang itu berjumlah RM721 yang diberikan sepanjang di bawah jagaan pihaknya dibayar semula kepada jabatan.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.

Beliau turut memerintahkan tertuduh membayar kos rawatan haiwan tersebut sebanyak RM721 kepada JPV dan kedua-dua anjing itu dipulangkan semula kepada tertuduh.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut dan bertindak agresif terhadap salah seorang pengamal media yang membuat liputan dengan cara menolak kamera dipegang jurukamera Awani sebelum bergegas keluar dari pekarangan mahkamah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini