LONDON 3 Mei – Hamza Choudhury didakwa atas tuduhan salah laku di media sosial oleh Persatuan Bolasepak England (FA).
Pemain tengah Leicester berusia 21 tahun itu memohon maaf di atas mesej yang dimuat naik di Twitter pada 2013 dan 2014 merangkumi beberapa perkara sensitif termasuk bangsa, bunuh diri dan bola sepak wanita.
FA dalam satu kenyataan memberitahu: “Pertuduhan itu dibuat selepas melanggar Peraturan FA E3 (1) kerana mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan.
“Kenyataan itu merujuk kepada etnik, bangsa dan orientasi seksual,” katanya.
Choudhury diberi masa sehingga 13 Mei ini untuk memberikan maklum balas.
“Kenyataan ini tidak mencerminkan kepercayaan saya sepenuhnya.
“Saya banyak belajar menjadi insan sejak mula bergelar profesional, cukup untuk mengetahui bahawa ada antara komen saya memberi kesan kepada orang lain.
“Saya memohon maaf kepada semua yang terkesan dengan kenyataan saya,” kata Choudhury dalam satu kenyataan.-AGENSI











