300 menu satukan bangsa - Utusan Malaysia

300 menu satukan bangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Restoran Strawberry Field di Petaling Jaya merupakan sebuah legasi perniagaan yang menampilkan pelbagai menu unik dan enak yang diwarisi sejak turun-temurun iaitu pada 1988.

Mesti ramai di antara kita menyangka nama restoran itu merujuk kepada sebuah ladang strawberi dan mempunyai menu pencuci mulut berkonsepkan buah-buahan tersebut.

Namun, sangkaan itu meleset sama sekali kerana menu di restoran yang telah beroperasi sejak 2003 itu tidak mempunyai kaitan dengan buah-buahan tersebut. Restoran itu dinamakan Strawberry Field sempena mengambil inspirasi daripada kumpulan penyanyi The Beatle.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu, setiap sudut di restoran tersebut dihiasi dengan dekorasi unik iaitu barang-barang klasik seperti radio lama, telefon lama, selain mempunyai satu sudut khas untuk meletakkan bingkai gambar kumpulan muzik The Beatle.

Penasihat Makanan di restoran itu, Nor Saadah Mohd. Dahan, berkata, nama Strawberry Field diberikan oleh pemilik syarikat iaitu Prima Utama Sdn. Bhd. berdasarkan lagu nyanyian kumpulan The Beatle iaitu Strawberry Field Forever.

PETALING JAYA, 25 MAC 2019 - Antara hidangan makanan yang terdapat
Ayam Grill dengan Sos Perang

“Inspirasi daripada lagu kegemaran pemilik syarikat ini akhirnya memberikan nama unik yang sehingga kini menjadi trademark dengan lambang buah strawberi diletakkan di restoran ini,” katanya kepada Mega Rona.

Restoran ini pernah memenangi beberapa anugerah antaranya, Kafe Bersih pada 2017 dan Aspresiasi Pelancongan Selangor 2013.

Selain itu, katanya, kepelbagaiaan menu yang mempunyai konsep tanpa mengira latar belakang bangsa di negara ini menjadi daya tarikan kepada penduduk untuk menikmati menu yang dihidangkan.

Mengulas lanjut, Nor Saadah memberitahu restoran yang mempunyai pengiktirafan sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu menawarkan harga yang sangat berpatutan, bermula RM1.20 hingga RM25.

PETALING JAYA, 25 MAC 2019 - Antara hidangan makanan yang terdapat
Kuew Teow Cantonese dengan Daging.

Menu yang ditawarkan itu bukan sahaja menepati cita rasa setiap individu, malah variasi makanan yang ditawarkan dapat menyatupadukan rakyat Malaysia kerana pelbagai hidangan tradisi bangsa-bangsa utama negara ini terdapat di restoran tersebut.

“Antara menu yang ditawarkan adalah Spageti Ayam Carbonara (RM13.30), Nasi Ayam Mentega (RM12.45), Mi Goreng Udang, Ayam Grill dengan Sos Perang (RM15.90) dan Kuew Teow Cantonese dengan Daging (RM9.80) dan banyak lagi.

“Kesemua menu yang ditawarkan adalah 95 peratus ‘fresh cook’ iaitu menu yang dipesan hanya akan dimasak sebaik sahaja pesanan dibuat oleh pelanggan,” katanya.

Tambahnya, terdapat lebih 300 variasi menu daripada masakan pelbagai bangsa dan yang paling laris adalah Nasi Ayam Mentega dan Spagheti Ayam Carbonara. Masakan tersebut bukan sahaja sangat enak, malah kuahnya lain daripada yang lain.

“Keenakan menu ini dapat dirasai apabila kuah masakan hidangan tersebut dirasai di dalam mulut dan kepekatan kuah yang disediakan sememangnya lain daripada masakan lain.

“Malah, saiz hidangan yang besar pada harga berpatutan memberikan kepuasan kepada pelanggan,” katanya.

Menurut Nor Saadah, restoran yang kini mempunyai sebuah lagi cawangan di Subang Jaya turut menawarkan menu pencuci mulut yang sedap dimakan ketika cuaca panas.

“Sagu Gula Melaka dengan Aiskrim (8.40), antara menu pencuci mulut paling laris kerana rasa manis dan enak disulami buah sagu di dalam satu hidangan.

“Selain itu, pelbagai minuman seperti Nanas, Saderi dan Lemon, jus tembikai dengan laici dan hidangan kopi seperti Illy Brand Cafe Latte turut ditawarkan di restoran ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini