Isnin lalu, FGV Holdings Berhad (FGV) meneroka segmen perniagaan baharu bagi mempelbagaikan sumber pendapatan kumpulan. FGV yang sinonim dengan tanaman kelapa sawit dan kini akan dikenali pula sebagai pengeksport durian termasuk Musang King yang menjadi bualan penggemar raja buah itu di seluruh dunia.
FGV telah mengenal pasti 1,398 hektar tanah yang bersesuaian untuk penanaman durian secara komersial dalam skala yang besar. Pada Ogos 2018, Kementerian Pertanian dan Asas Tani menandatangani protokol eksport dengan Pentadbiran Am Kastam China untuk durian segar dan sejuk beku.
Menurut FGV, ia merupakan potensi besar kepada industri durian Malaysia memandangkan China merupakan pembeli durian terbesar ketika ini. Tetapi ramai juga yang mempertikaikan kemampuan FGV untuk terlibat dengan penanaman durian selain meragui industri durian mampu menjana pendapatan besar kepada syarikat.
Eksport durian premium ke negara pengimport durian terbesar dunia, China dijangka melonjak daripada 5.8 peratus kepada tiga digit menjelang hujung tahun ini.
BANYAK SYARIKAT MAHU EKSPORT DURIAN KE CHINA
Ini kerana lebih banyak syarikat tempatan sedang berbincang dengan China untuk mengeksport durian ke negara itu selain mengembangkan perkongsian pasaran.
Syarikat e-dagang gergasi dunia, Alibaba Group telah memasuki perkongsian strategik dengan pembekal durian tempatan bagi mengeksport buah durian sejuk beku gred premium, Musang King ke China.
Walaupun durian majoritinya dipasarkan di rantau Asia berbanding negara barat, namun potensi besar terutama di pasaran China tidak boleh dilepaskan. Durian adalah buah bermusim tetapi permintaan yang tinggi menyebabkan harganya boleh meningkat berkali ganda bagi gred premium.
Potensi eksport durian
Menurut Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Malaysia menghasilkan 300,000 tan durian setahun yang mana 23 peratus adalah Musang King.
Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menunjukkan eksport durian ke China meningkat secara purata sebanyak 35 peratus setiap tahun.
Anggaran nilai perdagangan pula sebanyak RM4.5 bilion pada 2017 meningkat RM1 bilion berbanding sedekad lalu.
Kepakaran FGV dalam sektor penanaman
Sekali pun berbeza dengan kelapa sawit, pengalaman FGV dalam sektor pertanian tidak harus dipandang remeh. FGV memiliki 450,000 hektar bank tanah di seluruh Malaysia dan Indonesia.
Syarikat itu memproses 15 juta tan tandan buah segar (FFB) setahun yang mana lima juta tan dari ladang miliknya.
Kemampuan menguruskan ladang yang besar, mempunyai aktiviti hiliran dan huluan serta menjalin pelbagai kerjasama strategik membuktikan kredibiliti FGV dalam mengendalikan perniagaan pertanian. Dengan perancangan yang tepat, tidak mustahil FGV mampu muncul sebagai pengeksport durian terkemuka kelak.
Sekatan eksport minyak sawit EU
Tindakan Kesatuan Eropah (EU) yang mengenakan sekatan terhadap eksport minyak kelapa sawit boleh menjejaskan pemain-pemain industri kelapa sawit.
Bagi menangani sekatan tersebut, Malaysia akan meningkatkan eksport minyak kelapa sawit ke pasaran sedia ada seperti Pakistan, Iran, China, Turki dan India. Strategi itu bagi mencari pengganti kepada pasaran EU.
Walaupun tidak mahu bergantung kepada EU lagi, impak penurunan eksport ke benua itu pasti terasa. FGV sebagai operator ladang kelapa sawit ketiga terbesar dunia pastinya mahu mencari alternatif lain untuk menambah pendapatan.
Kebergantungan kepada satu sumber pendapatan sahaja boleh menjejaskan daya tahan syarikat untuk jangka masa panjang. Keputusan untuk meneroka pasaran durian merupakan langkah wajar untuk menambah nilai tanah-tanah yang tidak produktif untuk penanaman sawit. Jadi apa salahnya FGV tanam durian?











