LONDON 3 Mei – Tottenham Hotspur mengesahkan pemain pertahanannya, Jan Vertonghen tidak mengalami kecederaan otak selepas berlaga kepala dengan rakan sepasukan ketika aksi separuh akhir pertama Liga Juara Juara Eropah menentang Ajax Armsterdam Rabu lalu.
Vertonghen, 32, secara tidak sengaja tertanduk kepala Toby Alderweireld menyebabkan dia rebah dan gagal meneruskan permainan walaupun kemudiannya dilihat seperti orang bingung selain terpaksa dipapah masuk ke bilik persalinan.
Pemain antarabangsa Belgium itu menjadi tumpuan selepas Spurs dikritik kerana cuba membenarkannya menyambung kembali permainan walaupun jelas dia belum benar-benar sedar kesan daripada hantukan itu.
“Selepas lulus semua ujian dalam tempoh 48 jam, beliau disahkan tidak mengalami cedera otak. Hanya yang cedera adalah hidungnya menyebabkan pendarahan yang banyak. Doktor pakar bagaimanapun menasihatkan dia supaya berehat seketika beberapa hari,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Berikutan itu, Vertonghen dijangka terlepas aksi Liga Perdana Inggeris menentang Bournemouth esok yang dianggap penting untuk memastikan kelab itu berada dalam kelompok empat teratas sehingga ke penghujung musim yang hampir menutup tirainya. – AFP











