Sukar jalan tugas akibat faktor usia - Utusan Malaysia

Sukar jalan tugas akibat faktor usia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIPUTERAKAN pada tanggal 23 Disember 1933, Maharaja Akihito merupakan anakanda lelaki pertama dan pewaris takhta bagi Maharaja Hirohito dan Maharani Nagako.

Selepas kematian Maharaja Hirohito, Akihito kemudiannya menaiki takhta pemerintahan Negara Matahari terbit itu pada Januari 1989.

Pagi Selasa lalu, selepas lebih tiga dekad menjadi individu terpenting di Jepun, Maharaja Akihito telah menjadi maharaja pertama yang melepaskan takhtanya dalam sejarah empayar keluarga diraja Jepun sejak 200 tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Upacara yang berlangsung pada hari Selasa lalu bermula dengan ritual peribadi di Istana Diraja, Tokyo, Jepun.

Maharaja Akihito mengunjungi Kuil Shinto di Istana Diraja, bagi menghadiri upacara keagamaan sempena istiadat turun takhta pemerintahannya sebagai Maharaja Jepun.

Istiadat itu bermula pada pukul 5 petang waktu tempatan di dalam sebuah bilik khas di Istana Diraja.

Baginda menghadiri istiadat turun takhta di hadapan mohor diraja yang merupakan sebuah pedang purba dan permata suci yang dianggap sebagai simbol kedaulatan Maharaja Jepun.

Setelah upacara itu berakhir beliau menyampaikan amanat terakhir sebagai Maharaja Jepun.

Dalam ucapan terakhirnya, Maharaja Akihito menitahkan penghargaan yang paling mendalam kepada rakyat Jepun dan akan berdoa untuk keamanan serta kebahagiaan negara.

Upacara bersejarah itu turut dihadiri kira-kira 300 tetamu kenamaan termasuk Perdana Menteri, Shinzo Abe dan keluarga diraja.

Isyarat

“Maharaja Akihito telah menjalankan tanggungjawab sebagai simbol Jepun. Maharaja dan Maharani telah memberikan keberanian dan harapan kepada rakyat Jepun semasa kesusahan,” jelas Abe.

Berdasarkan laporan agensi berita BBC, Maharaja Akihito yang menjangkau usia 85 tahun telah diberi keizinan untuk melepaskan takhtanya setelah baginda merasakan tidak dapat meneruskan peranan sebagai maharaja kerana faktor usia dan kesihatannya yang menurun.

Dalam satu ucapannya pada tahun 2018, Maharaja Akihito menjelaskan bahawa baginda khuatir dengan faktor usianya yang semakin meningkat sehingga membuatnya sukar untuk menjalankan tugas dan memberi isyarat mahu melepaskan takhtanya.

“Apabila merasakan bahawa tahap kecergasan semakin menurun, saya risau kerana sukar untuk melaksanakan kewajipan saya sebagai lambang negara,” katanya ketika itu.

Majoriti rakyat Jepun bersimpati dengan keinginan maharaja untuk bersara.

Perkara itu telah mencetuskan kekeliruan di Jepun kerana tiada dalam undang-undang diraja menjelaskan mengenai penurunan takhta bagi maharaja yang masih hidup.

Setahun kemudian Parlimen negara itu telah menggubal undang-undang yang membolehkan penurunan takhta itu dilakukan.

Perjalanan hidup Maharaja Akihito cukup panjang dan baginda dihujani dengan kenangan yang menyakitkan ketika Perang Dunia Kedua sehingga diangkat sebagai maharaja yang dekat dengan rakyat.

Pada usia 11 tahun, baginda dibawa lari dari Tokyo ke kawasan pergunungan apabila tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Selain itu, Maharaja Akihito juga telah mencipta sejarah dalam keluarga diraja Jepun setelah memilih untuk berkahwin dengan rakyat biasa iaitu Maharani Michiko Shoda, 85, pada tahun 1959.

Beliau merupakan maharaja pertama memegang tampuk Takhta Kekwa di bawah perlembagaan pascaperang yang mentakrifkan maharaja sebagai simbol rakyat tanpa kuasa politik.

Era baharu

Maharaja Akihito mengakhiri pemerintahannya selama tiga dekad dan ini merupakan kali pertama Jepun melihat seorang maharaja berundur daripada Takhta Kekwa sejak 1817.

Baginda akan diberi gelaran baharu iaitu Maharaja Emeritus­ selepas turun takhta dan baginda diberi pelepasan daripada tugas-tugas rasmi seper­ti menandatangani dokumen, menerima kunjungan pembesar asing, menghadiri upacara rasmi kerajaan dan istana.

Pemerintahannya selama 30 tahun digelar Heisei atau mencapai keamanan dan anaknya, Putera Mahkota Naruhito akan menaiki takhta dan memulakan era baharu Reiwa atau harmoni.

Putera Mahkota Naruhito akan menjadi maharaja ke-126 Jepun dan secara rasminya akan memimpin negara itu ke era Reiwa yang baharu.

Ia akan menandakan berakhirnya era Heisei yang bermula ketika Maharaja Akihito naik takhta pada tahun 1989.

Naruhito, 59 tahun yang mendapat pendidikan di Universiti Oxford telah ditabal sebagai putera mahkota pada usia 28 tahun.

Bersempena dengan peristiwa bersejarah itu, cuti tahunan musim bunga telah dilanjutkan kepada 10 hari.

Peristiwa itu dianggap sebagai satu yang bersejarah dan berbeza ketika Maharaja Akihito menggantikan ayahandanya 30 tahun lalu setelah kematiannya di mana rakyat Jepun perlu berkabung pada ketika itu.

Kali ini, orang pasti mengambil peluang itu untuk pergi bercuti atau tinggal di rumah menonton upacara penurunan dan menaiki takhta yang kedua-duanya akan disiarkan secara langsung.

“Maharaja bekerja keras selama 30 tahun sehingga saya berharap penyerahan takhta kepada maharaja baharu akan berjalan lancar,” kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mikiko Fujii.

Dalam pada itu, seorang pekerja bank, Yayoi Iwasaki, 50, berkata, dia berasa sungguh terharu dengan peralihan takhta tersebut.

Tertua di dunia

“Dahulu, peralihan takhta berlaku hanya selepas maharaja mangkat dan rakyat tidak pasti sama ada patut bergembira dan meraikannya tetapi melalui peralihan ini, saya pasti kita boleh menyambut ketibaan satu era baharu,” katanya.

Kerabat maharaja di Jepun adalah monarki keturunan yang tertua di dunia dan Empayar Jepun wujud sekitar tahun 600 Sebelum Masihi.

Malah, Maharaja Jepun juga pernah dianggap sebagai tuhan.

Bagaimanapun, Maharaja Hirohiti iaitu bapa kepada Maharaja Akihito secara terbuka membuang tanggapan tersebut ketika akhir Perang Dunia Kedua sebagai sebahagian daripada tanda penyerahan Jepun.

Maharaja Akihito juga membantu memperbaiki kerosakan terhadap reputasi Jepun selepas perang.

Maharaja terdahulu jarang untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang ramai.

Maharaja Akihito telah mendefinisikan semula peranannya sebagai maharaja dan baginda dikenali sebagai seorang yang mempunyai belas kasihan.

Pada tahun 1991, dua tahun selepas menaiki takhta, baginda dan permaisuri telah membuang norma-norma seorang maharaja dan mereka berlutut untuk bercakap dengan mangsa yang terkena letusan gunung berapi di Nagasaki.

Mereka juga tidak kekok untuk berinteraksi dengan orang-orang yang menderita penyakit kronik seperti kusta yang dipinggirkan di Jepun.

Maharaja Akihito menjadi maharaja pertama Negara Matahari Terbit yang melepaskan takhta dalam tempoh 200 tahun berbanding peralihan-peralihan sebelum ini yang berlaku ekoran kemangkatan maharaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini