“Kami berterima kasih dengan kedatangan kamu semua. Sebenarnya dah lebih sebulan tak hujan.
“Malah kami pun sudah putus asa bagaimana nak dapatkan bekalan air untuk kegunaan harian.” Itu antara lontaran permasalahan seorang penduduk kampung sebelum kami berangkat pulang ke Kuching lewat petang baru-baru ini dalam keadaan hujan yang agak lebat.
Saya hanya mampu tergamam dan fikiran labuh dalam permasalahan yang terpaksa dilalui penduduk di Kampung Sebandi Hilir di Opar, Kuching, Sarawak. Kami pun tidak menyangka hujan yang menyambut tatkala sampai umpama membawa rahmat bagi mereka.
Namun agak menghibakan ketibaan kami juga disandarkan harapan untuk membantu masalah mereka yang buntu kerana tidak ada bekalan air.
Sangat menyedihkan mendengar rintihan dan keluhan penduduk yang masih berdepan masalah keperluan asas di zaman orang lebih mudah mendapat akses internet.
Bagi wakil penduduk Kampung Sebandi Hilir, Sakai anak Ugin, mereka ini telah dipinggirkan sejak sekian lama dan sangat berharap ada pihak yang buka mata dan membantu. Mereka ini tidak pernah mendapat bekalan air dan entah di mana silapnya mereka ini dianaktirikan oleh kerajaan negeri.
“Ini suatu perkara yang telah kami luahkan sejak dahulu lagi. Dari segi kelengkapan semua cukup. Ada tangki air besar, paip ada, tetapi airnya tak ada. Tangki air besar kami gunakan untuk simpan air hujan. Itu untuk memasak dan kegunaan harian,” kata Sakai lagi.
“Tapi bila hujan tak turun dalam tempoh masa lama, kami penduduk kampung memang susah. Ini suatu beban kepada kami terutama anak-anak kecil dan orang tua,” katanya.
Menurut Sakai lagi, mereka tidak mahu apa-apa yang besar. Apa yang paling penting bekalan air dan kedua, peluang pekerjaan dan perusahaan ladang.
Bagi Setiausaha Interim Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf Suffian, penduduk di situ adalah orang yang sangat merendah diri dan tidak mengeluh walaupun kehidupan agak sukar.
Apa yang dimahukan mereka kata Jaziri Alkaf, adalah kemudahan bekalan air seperti orang lain dan tidak dipinggirkan tanpa sebab. Katanya, orang kampung hanya mahu hidup sederhana, paling penting anak-anak dapat membesar dan diberi peluang pendidikan untuk kemajuan masa depan mereka.
Bagi mereka, biarlah perkara asas seperti air ini diselesaikan segera tanpa menunggu pilihan raya.
“Saya seperti penduduk lain musykil kenapa hanya ada paip dan tangki air sahaja tetapi airnya tidak ada,” katanya yang melakukan lawatan ke kampung berkenaan bersama ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Santubong baru-baru ini.
Selain itu Jaziri Alkaf turut memberitahu penduduk Kampung Sebandi Hilir bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu Sarawak ikhlas berjuang untuk menuntut kembali hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sebelum pindaan 1976.
“Gabungan Parti Sarawak (GPS) nampaknya hanya mahu bermain politik dalam soal mempertahan hak Sarawak kerana memilih untuk tidak mengundi pindaan 1 (2) Perlembagaan seperti yang diusul kerajaan baru-baru ini. Ini sesuatu yang menghairankan.
“Walhal Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah menjelaskan pindaan ini bertujuan mengembalikan status Sarawak dan Sabah ke asal seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Keengganan mereka ini seolah-olah satu penghinaan kepada pemimpin-pemimpin Sarawak terdahulu yang menandatangani persetujuan membentuk Malaysia bersama Sabah dan Singapura,” katanya.
Bagi penduduk kampung, walaupun kehidupan mereka serba-serbi kekurangan, namun senyuman keikhlasan dan keramahan sentiasa terserlah di wajah mereka.
Di saat semua orang menyanjung kemewahan dan kebendaan tapi bagi penduduk Kampung Sebandi Hilir, nilai kejujuran dan persaudaraan masih kekar dalam kehidupan mereka.
Apalah sangat bantuan bekalan air oleh kerajaan negeri bagi mereka yang sudah lama menjalankan tanggungjawab kepada kerajaan dengan mengundi pada setiap pilihan raya. Ini tentu menggembirakan mereka kerana tidak sukar difahami dalam politik jiwa sebenarnya adalah rakyat.











