TAK lama lagi umat Islam yang tawaduk akan menunaikan ibadah puasa yang wajib dilaksanakan pada bulan Ramadan. Tik tok, tik tok, jam berjalan sekejap sahaja sudah sampai kembali kita ke bulan Ramadan al mubarak.
Pada masa ini, peniaga-peniaga yang bakal berniaga di bazar Ramadan sedang sibuk membuat persediaan barangan untuk memasak hingga ke tahap membuat persediaan mempromosi produk dalam media sosial mahupun di media perdana.
Untung atau rugi bergantung kepada jenis masakan yang akan dipasarkan. Kalau hidangan biasa seperti nasi beriani dimasak sesedap rasa dan memukau selera, ia tetap akan memberi pulangan lumayan.
Bayangkan jika hari biasa boleh jual dua periuk besar nasi beriani, namun apabila berniaga di bazar Ramadan, dua periuk boleh berganda menjadi enam periuk. Lumayan.
Namun di sebalik merebut rezeki material, jangan lupa rezeki kesihatan dan kelapangan yang kita ada untuk dijadikan modal merebut rezeki untuk membuat pahala di bulan Ramadan ini.
Sikap suka bersedekah tidak kira wang ringgit mahupun makanan yang lazat sepatutnya menjadi amalan sepanjang tahun. Bukan setakat merebut pahala berganda di bulan Ramadan semata-mata.
Fenomena anak-anak yatim dan pelajar-pelajar tahfiz disantuni dengan aktif pada bulan puasa sahaja bukan sesuatu yang salah tetapi perlu dijadikan budaya sepanjang masa.
Anak-anak yatim mahupun anak orang biasa tetapi hidup susah perlu juga disantuni atas dasar keprihatinan kita kepada anggota masyarakat. Jangan bersifat belah buluh atau pilih bulu dalam menzahirkan kasih sayang.
Kepada pihak hotel mahupun restoran yang mengadakan bufet Ramadan, isu seperti pembaziran makanan hingga melibatkan bertan-tan makanan sewajarnya tidak lagi berlaku kerana tujuan kita berbuka puasa adalah untuk ibadah, bukannya membuat amalan syubhah iaitu membazir makanan hingga beribu-ribu tan.
Sepatutnya makanan mewah tersebut diagih-agihkan kepada pihak yang memerlukan tidak kira siapa kerana perbuatan tersebut lebih mendatangkan kerahmatan dalam masyarakat. Harap pihak berkuasa memantau isu pembaziran setiap kali bufet Ramadan berlangsung.
Semasa bulan Ramadan, rezeki pihak surau dan masjid biasanya cukup mewah hasil sumbangan iftar dan moreh selepas solat tarawih. Jika kena gayanya, sekeluarga berbuka puasa di masjid, belanja sebulan untuk ibadah tersebut dijayakan boleh dijimatkan.
Justeru kepada umat Islam, jangan terlalu leka dengan makanan mewah di hotel-hotel hingga hujung bulan poket yang semakin langsing bukannya tubuh kita. Rebutlah rezeki mewah dalam bentuk iftar, moreh dan paling penting pahala berganda bila solat berjemaah dengan anggota komuniti. Bak kata orang Malaysia hari ini, benda boleh dapat rezeki mewah di masjid, buat apa ke hotel bermewah-mewah hingga ekonomi lelah. Selamat beramal.
Kepada pihak hotel mahupun restoran yang mengadakan bufet Ramadan, isu seperti pembaziran makanan hingga melibatkan bertan-tan makanan sewajarnya tidak lagi berlaku kerana tujuan kita berbuka puasa adalah untuk ibadah, bukannya membuat amalan syubhah iaitu membazir makanan hingga beribu-ribu tan.











