TOPIK kali ini adalah mengenai kisah benar berkaitan fenomena 100 ekor monyet. Kisah ini berlaku kira-kira 67 tahun lalu atau lebih tepat lagi pada 1952.
Pada tarikh itu, sekumpulan saintis Jepun telah melakukan uji kaji terhadap monyet spesies, Macaca Fuscata di kepulauan Koshima.
Saintis telah memberikan monyet terbabit keledek yang dicampakkan di atas pasir. Monyet berkenaan menyukai rasa keledek mentah itu tetapi tidak menggemari pasir yang melekat padanya.
Seekor monyet betina berusia 18 bulan bernama Imo menemui cara untuk menyelesaikan masalah itu dengan membasuh keledek di anak sungai berhampiran. Dia mengajar cara itu kepada ibunya. Kawan-kawannya juga belajar kaedah terbabit yang kemudiannya mengajar ibu masing-masing.
Inovasi budaya itu kemudiannya dipelajari secara perlahan-lahan oleh monyet lain sejak 1952 dan pada musim luruh 1958 sesuatu yang mengejutkan berlaku apabila monyet ke-100 belajar kaedah baharu itu. Secara tiba-tiba, semua monyet membasuh keledek walaupun tidak diajar. Apa yang mengejutkan, monyet di pulau-pulau lain juga melakukan perkara sama.
Kejadian yang digelar Hundredth Monkey Phenomenon disifatkan saintis membuktikan wujud jaringan bukan fizikal menghubungkan semua spesies haiwan yang dikenali sebagai morphogenetic field.
Jaringan itu akan menjadi aktif apabila jumlah spesies yang mempelajari kaedah baharu itu mencapai critical mass (bilangan minimum yang diperlukan bagi membolehkan perubahan yang diperkenalkan menjadi satu budaya). Antara individu yang mempopularkan idea itu ialah penyelidik Inggeris, Alfred Rupert Sheldrake.
Cukup kisah haiwan, kita kembali kepada cerita manusia yang kini berperangai seperti binatang termasuk terlibat melakukan perbuatan buruk seperti mengambil rasuah.
Baru-baru ini, ramai anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat melindungi pemandu lori lebih muatan.
Setiap anggota penguat kuasa JPJ dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 sehingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan dan mereka juga membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dilaksanakan JPJ.
Persoalan yang perlu dijawab ahli sains, adakah apabila terlalu ramai kakitangan sesebuah organisasi terlibat dengan rasuah, tabiat buruk akan menular dan menjadi satu budaya seperti kisah 100 monyet tadi?
Andaian itu hanya benar jika morphogenetic field juga wujud pada manusia. Terdapat dakwaan fenomena itu memang berlaku berdasarkan pengalaman teka silang kata lebih mudah diselesaikan pada waktu petang setelah ramai individu mencubanya.
Jika ya, cukupkah diambil tindakan menempatkan pegawai baharu bagi menggantikan pegawai lama yang telah didapati bersalah terlibat rasuah sedangkan keseluruhan cawangan JPJ Pulau Pinang telah ‘tercemar’?
Berkesankah tindakan melantik ketua baharu yang bebas rasuah untuk membersihkan cawangan yang ‘kotor’?
Mungkin cara terbaik adalah membubarkan cawangan itu dan semua kakitangan yang disyaki ‘tercemar’ dipecahkan dalam kumpulan kecil dan diserapkan ke bahagian lain yang disahkan tidak dibelenggu dengan budaya rasuah.
Terpulanglah kepada ahli sains dan SPRM untuk mencari jawapannya.











