ALOR SETAR 2 Mei – Kerajaan negeri Kedah sedang menumpukan usaha untuk membangunkan pusat sehenti bagi memudahkan urusan berkaitan pelaburan sejajar dengan kehendak kerajaan Persekutuan yang mahu menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata penubuhan pusat sehenti itu penting bagi membantu menyelesaikan dengan lebih cepat isu-isu yang dihadapi bakal pelabur antara termasuk perolehan tanah dan proses kelulusan dalam pentadbiran negeri.
“Pembentukan pusat sehenti di peringkat negeri relevan kerana isu tanah dan kelulusan ini saling berkait dan kadang-kadang kita akui berlaku kelewatan sedikit untuk dapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ini kerana urusan membabitkan pelaburan kadang kala perlu pergi banyak tempat berasingan hanya untuk dapatkan kelulusan.
“Jadi, dengan adanya pusat ini pelabur boleh datang satu tempat sahaja di mana semua pegawai yang relevan ada di situ dan kita mahu kelulusan itu dibuat dalam tempoh sehari sahaja berbanding sebelum ini yang mana memakan masa sehingga berbulan dan bertahun,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Mukhriz berkata, langkah membangunkan pusat sehenti itu perlu sekiranya kerajaan negeri serius untuk menarik pelabur datang melabur yang mana dilihat mampu membuka peluang perniagaan serta merancakan lagi ekonomi negeri dan negara.
Pada 28 April lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghadiri Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa (BRF) kedua di Beijing, China berkata pelabur China mahu negara menyediakan pusat sehenti untuk memudahkan urusan berkaitan pelaburan mereka dan selain mahu pusat itu diwujudkan dengan segera. – BERNAMA











