KUALA LUMPUR 2 Mei- Enam belas jenis sukan dikenal pasti bagi penyertaan kontinjen Malaysia pada Sukan Para ASEAN yang akan berlangsung di Manila, Filipina tahun hadapan.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Majlis Sukan Negara (MSN) Suhardi Alias berkata 16 sukan itu adalah memanah, olahraga, badminton, boccia, catur, bola sepak CP (Cerebral Palsy), berbasikal, bola jaring, angkat berat, bola tampar duduk, renang, tenis meja, tenpin boling, bola keranjang kerusi roda, triathlon dan judo.
“Kami menyasarkan penyertaan 370 daripada 816 acara sukan yang dipertandingkan, pada Sukan Para ASEAN 2020 yang akan berlangsung dari 18 hingga 25 Jan,” katanya kepada Bernama hari ini selepas pelancaran perhimpunan atlet Program Paralimpik dan majlis penajaan KPJ Tawakkal Specialist Hospital (TSH) di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Suhardi berkata fasa pertama latihan bermula Januari tahun lepas dan berakhir semalam, bertujuan mengenal pasti atlet berkebolehan dan berkelayakan, manakala fasa kedua mulai hari ini hingga Oktober depan.
Beliau berkata latihan fasa kedua itu akan lebih menumpukan kepada program peningkatan prestasi atlet dari segi sains sukan, strategi dan teknikal.
“Ia juga merangkumi program motivasi, kerohanian serta kekuatan secara individu dan berpasukan. Seramai 304 atlet disenaraikan untuk fasa kedua dan jumlah ini akan dikemas kini mengikut perubahan semasa seperti pengguguran acara dan sebagainya,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, beliau meminta atlet paralimpik negara supaya terus bersemangat meneruskan latihan walaupun pada bulan Ramadan tidak lama lagi.
Pada majlis hari ini, KPJ TSH menyumbangkan dua televisyen dan sebuah dispenser air untuk kegunaan atlet paralimpik yang menyerlah pada temasya sukan, selain mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.- BERNAMA











