KULIM – Perbuatan seorang penganggur mencuri wang sebanyak kira-kira RM800 selepas memecahkan tabung sebuah surau di Lunas di sini Selasa lalu menjerat diri apabila dia ditahan polis semalam.
Lelaki berusia 59 tahun itu ditahan di satu kawasan di Taman Tiram, Lunas kira-kira pukul 9 pagi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md. Noor berkata, kehilangan wang tersebut disedari ahli kariah surau pada kelmarin selepas mendapati kunci tabung dipotong.
“Pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang memakai cermin mata masuk ke dalam surau kira-kira pukul 11.40 malam Selasa lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, suspek kemudian berjaya ditahan oleh anggota ronda di Taman Tiram, Lunas kira-kira pukul 9 pagi kelmarin.
“Siasatan mendapati suspek mempunyai 21 rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah masuk bangunan, curi, memiliki barang curi dan keganasan rumah tangga selain dikehendaki bagi satu kes penipuan di Negeri Sembilan,” ujarnya.
Tambahnya, suspek dari Bayan Lepas, Pulau Pinang itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











