PUTRAJAYA – Keputusan permohonan untuk ke Program Pengajian Asasi, Sijil dan Diploma akan diumumkan pada Ahad (5 Mei) ini mulai pukul 12 tengah hari hingga 12 Mei melalui saluran hebahan aplikasi telefon pintar, UPUPocket 2.0 dan laman web institusi pengajian tinggi.
Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP) telah menyelaras permohonan kemasukan pelajar ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) menerusi UPUOnline mulai 25 Februari hingga 2 April lalu.
Menurutnya, sebanyak 199,626 permohonan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diterima.
“Calon-calon itu layak dan melepasi syarat am dan khas program pengajian bagi kemasukan ke UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA.
“Surat tawaran akan dikeluarkan oleh pihak UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA. Semua calon dikehendaki membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, tawaran tempat adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran adalah tidak dibenarkan.
Jelasnya, pemohon yang gagal menerima sebarang tawaran boleh mengemukakan rayuan melalui http://upu.moe.gov.my.
“Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan mengikut program pengajian di UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA selepas tempoh pendaftaran pelajar baru.
“Kita juga membuka kaunter khidmat runding cara permohanan kemasukan di KPM, Presint 5, Putrajaya mulai 6 Mei hingga 10 Mei ini untuk memudahkan pemohon membuat semakan,” katanya.
Maklumat lanjut sila hubungi talian 03-8870 8200 atau laman Facebook, KEMASUKAN BPKP JPT, @TWT_UPU (Twitter) dan @KEMASUKANBPKP (Instagram). – K! ONLINE











