BARCELONA 2 Mei – Bintang sensasi Barcelona, Lionel Messi memberi amaran kepada rakan sepasukannya kemenangan 3-0 ke atas Liverpool pada separuh akhir pertama, awal pagi tadi di Nou Camp belum menjamin tempat mereka di pentas final Liga Juara-Juara (UCL).
Jelasnya, cabaran lebih besar bakal menanti pasukannya di Anfield pada aksi separuh akhir kedua 8 Mei nanti.
Dalam perlawanan itu, Messi terus mempamerkan magis dengan memperagakan aksi menakjubkan sepanjang perlawanan dan berjaya meledakkan dua gol.
Bekas penyerang Liverpool, Luis Suarez terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-26 untuk meletakkan Barcelona mendahului 1-0.
“Lebih bagus jika dapat menang 4-0 berbanding 3-0 tapi ia satu keputusan yang amat baik.
“Ia belum muktamad, kami akan ke sana berdepan satu suasana yang agak rumit, dengan sejarah hebat,” kata bintang Argentina itu.
Jaringan kedua dan yang ke-600 Messi dalam kariernya di Barcelona dicapai dengan penuh bergaya menerusi sepakan percuma menarik bola melencong ke penjuru gol dari jarak jauh.
“Amat menarik apabila bola itu masuk tapi saya bertuah kerana bola itu menuju ke penjuru gol,” jelasnya.
Dalam masa sama, Messi tidak mahu menerima pujian terlalu tinggi selepas membantu pasukan memenangi perlawanan tersebut, sebaliknya menyifatkan kemenangan ini hasil kerjasama semua pihak termasuk penyokong.
“Kami perlu lebih bersatu berbanding biasa, semua bersatu hati, pasukan, penyokong. Seperti dikatakan pada awal musim kami akan cuba memenanginya bersama,” jelasnya. – AFP











