JOHOR BAHRU – Seorang penganggur dipenjara enam tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah atas 10 pertuduhan menipu menjual alat penapis air yang tidak wujud antara Oktober 2018 hingga April lalu.
Majistret Noor Aisyah Ahmad menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Zulhulaifah A. Ghani, 29, mengaku salah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut kesemua kertas pertuduhan, Mohd. Zulhulaifah didakwa menawarkan perkhidmatan servis penapis air yang tidak wujud dengan memperdaya 10 mangsa supaya menyerahkan wang tunai antara RM98 hingga RM466 membabitkan kerugian sebanyak RM2,888.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sekitar Pasir Gudang antara 18 Oktober 2018 hingga 23 April lalu.
Mohd. Zulhulaifah didakwa mengikut 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Siti Aisyah kemudiannya memerintahkan Mohd. Zulhulaifah menjalani hukuman penjara dua tahun bermula daripada tarikh ditangkap pada 25 April dan dua kali sebatan (halus) bagi tiga kesalahan pertama.
Untuk kesalahan keempat dan kelima, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua tahun dan dua kali sebatan selepas selesai hukuman pertama.
Manakala bagi kesalahan keenam hingga kesepuluh, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan lagi selepas tamat tempoh hukuman kedua. – K! ONLINE











